BN Yakin Pengundi Tenang Kekal Sokongan Berdasar Rekod

JOHOR BAHARU, 24 Dis – Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yakin Barisan Nasional (BN) akan terus mendapat kepercayaan rakyat dalam pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Jan depan berdasarkan rekod perkhidmatan BN yang baik di DUN itu selama ini.

“Jentera parti bersama-sama wakil rakyat BN Johor sama ada di peringkat Ahli Dewan Undangan Negeri mahupun Ahli Parlimen akan berusaha meraih sokongan padu rakyat di DUN Tenang,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan dilantik sebagai pengarah pilihan raya BN bagi pilihan raya tersebut.

Mengenai persiapan BN di DUN Tenang, beliau berkata jentera BN telah disusun dan gerak kerjanya telah diatur bagi menghadapi pilihan raya itu.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59, di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 17 Dis lepas akibat jangkitan kuman dalam darahnya serta kencing manis.

Hari penamaan calon ialah pada 22 Jan.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham memenangi kerusi tersebut buat penggal kedua selepas menewaskan calon Pas, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Dalam pilihan raya umum sebelum itu, beliau mengalahkan Mohd Saim dengan majoriti lebih 5,000 undi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong yang juga Anggota Parlimen Labis dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pilihan raya mewakili parti MCA.

Lagi Berita