Perayaan Krismas Wadah Masyarakat Bersatu Perkukuh Gagasan 1Malaysia

TENOM, 24 Dis – Bertepatan dengan Gagasan 1 Malaysia, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tenom telah menyampaikan sumbangan kepada 96 penerima sempena sambutan perayaan Krismas.

Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar telah menyampaikan sumbangan tersebut kepada penerima dari beberapa buah gereja di daerah Tenom yang merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Melalap dan Kemabong.

Menurut Jamawi seperti lazimnya, sumbangan ini sentiasa diagihkan sama seperti perayaan besar di negara ini iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Tahun Baru Cina.

“Sumbangan ini selaras dengan Konsep 1Malaysia bagi mewujudkan perasaan muhibah dan semangat setia kawan. Berkongsi perayaan ini memang telah lama menjadi amalan rakyat negeri ini,” jelas beliau.

Jamawi yang merupakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, sumbangan ini sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan mereka yang memerlukan agar turut sama bergembira menyambut Hari Natal.

“Pergerakan Pemuda UMNO Tenom akan meneruskan  program seperti ini kerana ianya amat sesuai dengan suasana pelbagai kaum di daerah ini. Walaupun berlainan fahaman politik, tetapi semua bergembira menanti perayaan ini,” ujarnya.

Beliau mengharapkan perayaan Krismas tahun ini akan menjadi wadah pemangkin kepada masyarakat untuk hidup bersatu padu dan harmoni. -UMNO-Online.

Lagi Berita