PRK DUN N.05 Tenang 30 Januari

PUTRAJAYA, 24 Dis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.05 Tenang, Johor akan diadakan pada Ahad, 30 Januari depan.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 22 Januari 2011.

Proses demokrasi itu akan menjadikan PRK ke-14 sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 2008.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, ketika mengumumkannya berkata SPR menerima makluman rasmi daripada Speaker DUN Johor mengenai kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis, pada 17 Disember lalu.

“Pilihan raya kecil ini menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009, digabungkan dengan Daftaf Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2010 yang dikemas kini sehingga Oktober lalu merangkumi seramai 14,753 pemilih berdaftar termasuk 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di sini, pagi ini.

Pada PRU-12, Sulaiman mengalahkan Mohd Saim Siran (Pas) dengan majoriti 2,492 undi. Pada waktu itu pengundinya DUN Tenang berjumlah of 14,474, termasuk Melayu (49%), China (38%) dan India (12%).

Tenang adalah satu daripada dua DUN (satu lagi DUN Bekok) di dalam Parlimen Labis yang diwakili oleh Chua Tee Yong.

DUN Tenang turut meliputi Felda Tenang, pekan Labis dan Felda Chempelak. Parlimen Labis antara lain bersempadanan dengan Segamat, Sekijang, Pagoh, Mersing, Ayer Hitam dan Sembrong. -MediaUMNO

Lagi Berita