PNB Yakin Ekonomi Negara Capai Tujuh Peratus

PASIR PUTEH, 26 Dis. – Permodalan Nasional Berhad (PNB) yakin ekonomi negara akan berkembang sebanyak tujuh peratus tahun depan berasaskan perkembangan dalam negara yang memberansangkan walaupun ekonomi global kurang menyenangkan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata pakej-pakej yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah pasti akan melonjakkan prestasi lebih baik berbanding tahun ini iaitu sebanyak enam peratus. 

“Walaupun ekonomi dunia dijangka lembab ia tidak banyak memberi kesan kepada prestasi ekonomi negara,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran persatuan penulis pantai timur di Pantai Bisikan Bayu di sini, hari ini. 

Beliau berkata, kalau dilihat dengan pakej-pakej kerajaan terutama dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang akan dilancarkan secara menyeluruh bermula tahun depan, tiada sebab ia tidak dapat membantu pergerakan yang lebih baik. 

“Kita yakin kerajaan akan mencapai sasaran pertumbuhan sebanyak tujuh peratus,” katanya.

Katanya bagaimanapun kerajaan perlu membuat pemantauan dan penekanan yang lebih serius agar aktiviti dan keberkesanannya tidak terbantut yang boleh menghalang sasaran itu.

Lagi Berita