Restoran Mamak Terus Pamer Logo 1Malaysia

MENTAKAB 27 Dis. – Kira-kira 1,300 restoran mamak di Selangor akan terus mempamerkan logo 1Malaysia di premis masing-masing walaupun dilarang oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Timbalan Presiden Kongres India Muslim (Kimma), Mohammed Mosin Abdul Razak menegaskan, pengharaman penggunaan logo 1Malaysia di Selangor adalah bermotifkan politik kerana konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bertujuan meningkatkan lagi perpaduan rakyat berbilang kaum.

Menurutnya, Kimma dan kira-kira 12,000 restoran mamak di seluruh negara menyokong penuh gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri yang mahu semua kaum berperanan untuk memajukan negara ini.

“Kami menolak sebarang arahan pengharaman penggunaan logo itu oleh Selangor. Hati rakyat tidak boleh dipaksa supaya menolak gagasan itu.

“Kerajaan Selangor di bawah pakatan pembangkang melakukan kesilapan apabila mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia setelah mereka menyedari konsep itu diterima majoriti rakyat Malaysia yang patriotik,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas Konvensyen Kimma kali pertama dan pelancaran laman web www.kimma@pahang.org milik Badan Perhubungan Kimma negeri di Dewan UMNO Temerloh di Mentakab, hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Temerloh; Setiausaha Agung Kimma, Harisrajudin Alaudin dan Ketua Penerangan Kimma, Datuk Anuar Sadad Mohamed Mustaffa.

Menurut Mohammed Mosin, Kerajaan PKR Selangor sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri apabila mengharamkan logo 1Malaysia dipamerkan di restoran mamak.

Tegasnya, kepimpinan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor semakin ditolak malah popularitinya kian merosot berikutan pelbagai insiden yang menjatuhkan reputasinya.

“Restoran mamak tiada masalah untuk mengekalkan logo 1Malaysia di semua premis perniagaannya kerana ia sangat baik untuk mengukuhkan lagi perpaduan kaum di negara ini,” katanya.

Pada masa ini, katanya, Kimma mempunyai 132,000 ahli dan semakin ramai yang menyatakan minat menjadi ahli termasuk golongan profesional.

Lagi Berita