Isu Khalwat ADUN Selinsing: Nik Aziz Bersekongkol?

KUALA LUMPUR 28 Dis – Tindak-tanduk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung dakwaan bahawa ADUN Selinsing, Drs Saipul Bahrin Mohamad  pernah ditangkap ‘berdua-duaan’ dengan isteri orang dalam koc VIP kereta api ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Ini kerana Nik Aziz seorang pemimpin yang bukannya mengamalkan gaya kepimpinan Rasulullah s.a.w, sebaliknya seorang pemimpin yang memimpin partinya secara asabiyyah, kata bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd. Noor Deris.

Tegas beliau dalam isu berkenaan, Nik Aziz sewajarnya memanggil saksi yang dikatakan mengetahui peristiwa malang terbabit serta  bersemuka untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan membuat siasatan secara tersendiri atau pun siasatan dalaman parti.

“Nik Aziz tidak seharusnya cepat melenting gara-gara yang dituduh itu adalah ADUN daripada Pas. Janganlah melenting tidak tentu hala. Bukankah Islam mengajar kita untuk siasat terlebih dahulu untuk mengetahui kesahihan berita berkenaan dan bukannya membuat tuduhan pukul borong.

“Sebagai pemimpin utama Pas, beliau sewajarnya perlu menonjolkan imej kepimpinan yang baik untuk diteladani oleh anak-anak buah dan bukannya bersikap sedemikian rupa. Saya sendiri pun tidak tahu sejauh mana kebenarannya isu yang diperkatakan berhubung ADUN Selinsing itu.

“Kalau saya sebagai pemimpin tertinggi Pas, saya sudah pasti akan memanggil saksi yang dikatakan mengetahui peristiwa itu, Ustaz Saidi Hussin untuk mengetahui perkara sebenar. Saya sungguh tidak faham apa jenis pemimpin seperti ini,” katanya.

Selain dicabar membuktikan peristiwa berkenaan oleh tuan punya badan, Drs Saipul Bahrin,  Nik Aziz  turut menyifatkan orang yang menggunakan blog sebagai medan membuat fitnah sebagai ‘buta’ dosa dan pahala.

Ustaz Noor Deris seterusnya menambah, bukti apakah lagi yang perlu dikemukakan sedangkan apa yang dinyatakan oleh Ustaz Saidi yang merupakan salah seorang penyokong kuat Pas pada satu ketika dahulu sudah terang dan nyata.

“Apa yang kita nak tahu sekarang adalah betul atau tidak apa yang diperkatakan oleh ustaz Saidi itu. Saya bukannnya katakan ADUN Selinsing benar-benar terlibat, cuma inginkan kepastian yang sebanarnya.

“Ini kerana Ustaz Saidi telah nyatakan secara lisan dan jika megikut hukum akal, ini sudah melibatkan maruah. Sepatutnya Drs Saipul ambil tindakan saman malu dan sebagainya ke atas Ustaz Saidi itu. Apakah beliau sanggup maruahnya diperkatakan oleh rakyat khususnya penduduk Selinsing. Ini amat memalukan…”, katanya.

Lagi Berita