Perubahan Rapatkan Hubungan, Kembalikan Sokongan Rakyat

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepimpinan baru UMNO Pulau Pinang mampu menyelesaikan segera masalah di beberapa bahagian tertentu demi merapatkan hubungan dan mengembalikan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid berkata, bagi memastikan perkara itu berlaku, kepimpinan baru parti di negeri berkenaan perlu merapatkan hubungan sesama Ahli Jawatankuasa (AJK) Perhubungannya.

“Teruskan agenda yang telah dirancangkan semasa saya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan (UMNO) Pulau Pinang,” katanya.

Ahmad Zahid diminta mengulas tentang pelantikan Datuk Zainal Abidin Osman sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang baru bagi menggantikannya di jawatan itu.

Dalam satu sidang akhbar hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut mengumumkan pelantikan Datuk Musa Sheikh Fadzir sebagai timbalan Zainal serta perubahan dalam dua lagi barisan kepimpinan UMNO negeri iaitu Terengganu dan Kedah.

Ahmad Zahid menambah, perubahan dalam kepimpinan UMNO negeri itu menunjukkan keyakinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kedua-dua pemimpin tempatan tersebut.

Justeru katanya, barisan pimpinan baru UMNO Pulau Pinang perlu berusaha keras untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada BN memandangkan ramai daripada mereka yang telah ‘merajuk’ dengan parti termasuk dari kalangan orang Melayu sendiri.

Selepas pilihan raya umum lalu, UMNO membuat keputusan untuk meletakkan tiga Naib Presidennya mengetuai jentera parti iaitu masing-masing di Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu sementara Najib menerajui Selangor manakala Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengetuai jentera di Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, pengumuman hari ini menyaksikan Najib dan Muhyiddin kekal di portfolio negeri berkenaan.Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin perubahan yang dilakukan terhadap pucuk pimpinan UMNO di beberapa buah negeri akan dapat meneruskan kelangsungan perjuangan parti itu di negeri terlibat.

Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Afdal berkata, perubahan yang dibuat adalah bagi memastikan hubungan kembali pulih dan sudah sampai masanya gerak kerja dan tumpuan diberi untuk memastikan BN menang besar dalam PRU akan datang.

Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan tersebut menggambarkan proses perubahan yang dicetuskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mula menunjukkan pergerakan positif.

Beliau menyambut baik pengumuman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai perubahan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri termasuk Terengganu.

”Ia juga isyarat yang jelas bahawa kita perlu bergerak lebih pantas dan tersusun dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

”Dalam konteks Terengganu, saya akui saya sebenarnya terhutang budi dengan semangat dan sokongan yang diberikan oleh setiap lapisan pemimpin dan ahli parti,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, semua barisan kepimpinan UMNO Terengganu telah bekerja kuat dan menunjukkan kesepakatan dalam meneruskan perjuangan parti.

Beliau berkata, orang Terengganu telah menjadi lebih rapat dan dekat di hatinya dan berjanji akan terus bersama mereka dalam perjuangan, biarpun tidak lagi menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

”Kita telah bermuhasabah dan memahami teras dan isi perjuangan sepanjang berlangsungnya Konvensyen UMNO Terengganu baru-baru ini dan Insya-Allah matlamat itu akan kita pertahankan bersama-sama.

”Namun kita semua perlu ingat bahawa Terengganu pernah jatuh ke tangan pembangkang dan berkat daripada hasil usaha, kerja keras dan kerjasama sesama pemimpin negeri, rakyat Terengganu kembali memberi semula mandat kepada UMNO,” katanya.

Justeru, beliau berharap semangat yang ditunjukkan selepas berlangsungnya Konvensyen UMNO Terengganu terus disemarakkan bagi memastikan negeri itu kekal ditadbir dan dipimpin oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berterima kasih kepada kepimpinan negeri sepanjang menerajui UMNO Terengganu khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Mengulas rombakan kepimpinan Badan Perhubungan Umno Negeri yang turut menyaksikan beliau tidak lagi memimpin Umno di Terengganu hari ini, Hishammuddin berkata: “Terengganu pernah jatuh ke tangan pembangkang dan berkat daripada hasil usaha, kerja keras dan kerjasama sesama pemimpin negeri, rakyat Terengganu memberi semula mandat kepada Umno.”

“Ia adalah amanah yang digalas dan perlu dipertahankan di mana pemimpin dan rakyat Terengganu perlu menerajui kepimpinan dan menentukan masa depan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Setiausaha badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, pelantikan semula Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akan memberi nafas baru kepada UMNO dan negeri ini.

Tengku Putera berkata, ia membuktikan pucuk pimpinan tertinggi negara yakin dengan kemampuan pemimpin negeri menerajui parti dan memenuhi harapan rakyat.

Beliau menyifatkan pelantikan itu turut melenyapkan pelbagai persepsi negatif terhadap UMNO negeri seterusnya menjadi permulaan baru untuk parti menyusun dan menggerakkan agenda menghadapi pilihan raya.

“Saya rasa pengumuman ini amat dinantikan oleh semua. Menteri Besar sendiri akan mengetuai UMNO negeri dibantu oleh Timbalannya, Yahya Khatib Mohamad. Mereka merupakan orang yang paling layak untuk menjadi perantaraan antara kepimpinan dan rakyat.

“Pelantikan ini tentunya ditimbangkan bukan dalam sehari dua dan saya yakin penyerahan kembali jawatan ini amat bermakna dalam perkembangan politik di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Di KUALA TERENGGANU, Ahmad berkata tumpuan beliau sekarang ialah untuk mengajak rakyat, terutama generasi muda menghayati sejarah perjuangan Umno bagi agama, bangsa dan negara.

Di GEORGE TOWN, Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pelantikan Datuk Zainal Abidin Osman sebagai pengerusi yang baru menggantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah dijangka.

Beliau yang dilantik sebagai timbalan kepada Zainal Abidin berkata kesemua pemimpin Umno di negeri itu telah lama bekerjasama dengan bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tersebut kerana beliau sering mempengerusikan mesyuarat perhubungan Umno negeri.

“Pelantikan Zainal adalah tepat kerana beliau adalah anak tempatan yang memahami kehendak rakyat Pulau Pinang dan Umno negeri sekarang sedang memainkan peranan sebagai pembangkang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Di ALOR SETAR, Ketua Umno bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md Zain berkata pemilihan anggota Dewan Undangan Negeri Bakar Bata Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanapiah dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi di Kedah hendaklah dihormati dan disokong oleh semua anggota serta pemimpin Umno negeri, jika mahu melihat BN menawan kembali Kedah.

Ahmad Bashah, anggota Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, menggantikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal.

Pengerusi parti Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai pula berkata Gerakan tiada masalah dengan kedua-dua tokoh itu dan akan memberikan sokongan serta kerjasama penuh kepada mereka.

Pengerusi MIC Kedah, S. Ananthan mengalukan-alukan pelantikan itu dan menganggap mereka adalah calon yang layak untuk mengembalikan kekuatan kepada Umno dan BN.

Di KANGAR, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yakin parti itu di peringkat negeri akan bertambah kukuh dan mantap.

Menurutnya, pelantikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebagai timbalannya akan mewujudkan gandingan mantap ke arah penyatuan Umno yang jitu.

“Apa yang saya harapkan ialah kerjasama yang lebih hebat di semua peringkat parti termasuk pergerakan pemuda, wanita dan puteri Umno,” katanya.

Lagi Berita