Isu Pilihan Raya Hanya Propaganda Pembohongan Pembangkang

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Tindakan pakatan pembangkang yang mendesak pilihan raya adil dan telus sebenarnya bukanlah satu perkara yang boleh dibangkitkan sebagai isu sehinggakan mereka mengadakan demonstrasi haram dan membuat tuntutan ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Presiden JUST (The International Movement for a Just World), Profesor Dr. Chandra Muzaffar, menegaskan bahawa pilihan raya umum bukan bahan apologetik apatah lagi dalam konteks Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia, ia telah terbukti berlangsung dalam suasana yang telus, adil dan penuh kebertanggungjawaban.

“Kita lihat sendiri sejak merdeka 54 tahun lalu, sejak PRU pertama sehinggalah yang ke-12 pada 2008, tidak pernah berlaku dalam negara jumlah undi melebihi daftar pengundi sebagaimana yang pernah berlaku di beberapa negara jiran termasuk Filipina semasa Marcos memerintah,” katanya.

Dr Chandra yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional turut membidas pembangkang yang sentiasa mewujudkan persepsi negatif dalam PRU dengan mengatakan wujudnya pengundi hantu.

“Siapa pengundi hantu? Pembangkang mengatakan undi pos adalah pengundi hantu dan mewujudkan persepsi bahawa kononnya Barisan Nasional (BN) adalah memonopoli undi pos dan apabila undi pos ini secara automatik akan berpihak kepada BN. Itu semua hanya mitos.

“Bukan semua undi pos menyebelahi BN biar pun ia melibatkan para pengundi yang kebanyakannya adalah kakitangan kerajaan malahan saya sendiri semasa bertanding dalam PRU melawan BN di Bandar Tun Razak telah membuktikan bahawa undi pos berpihak kepada saya,” jelasnya.

Beliau turut memberikan contoh lain dengan dengan Ruslan Kassim yang bertanding atas tiket Parti Keadilan dalam pilihan raya kecil Teluk Kemang menentang BN turut memenangi undi pos.

“Pada keseluruhannya, sistem pilihan raya yang dijalankan di Malaysia adalah adil dan terbuka dan kita tidak boleh bersikap apologetik dengan mana-mana pihak berkaitan hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Wacana Politik bertajuk ‘Pembentukan Persepsi Politik’ di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

Dalam pembentangannya, beliau juga turut menjelaskan bagaimana Dap sendiri membina persepsi dengan mengheboh-hebohkan isu kematian Teoh Beng Hock.

“Isu ini digunakan oleh Dap untuk menutup isu rasuah yang membabitkan anggotanya sendiri di Selangor yang secara tak langsung mencalarkan imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayasia (SPRM) sehinggakan kerana isu tersebut banyak agenda dalam SPRM itu sendiri terganggu,” katanya.

Ujarnya, pembangkang mewujudkan persepsi kononnya BN/UMNO adalah parti yang korup sehinggakan ramai pihak yang menganggap bahawa persepsi tersebut adalah satu realiti.

“Betapa seriuasnya kerajaan mahu membanteras rasuah sehinggakan Malaysia adalah negara pertama yang berbuat demikian melalui Akta Rasuah pada tahun 1967 dan sampai sekarang agenda ini masih berterusan,” katanya yang turut menyebut pemantapan Akta tersebut menjadi satu badan khas iaitu Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kemudiannya hari ini sebagai suruhanjaya iaitu SPRM selain penekanan kepada integriti dan lain-lain. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita