Peniaga Bazar Ramadan Berpotensi Kembang Perniagaan

IPOH, 14 Ogos – Kerajaan menyediakan pelbagai peruntukan dan bantuan kepada peniaga Bazar Ramadan yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka perlu mematuhi peraturan dan prosedur bagi proses mendapatkan bantuan itu, terutama keperluan mendaftarkan perniagaan.

“Bazar Ramadan yang mula diperkenalkan pada awal 1990-an, telah melahirkan ramai peniaga Bumiputera yang berpotensi, tetapi tidak berkembang kerana kurang pendedahan dan tiada pengalaman.

“Mereka perlu mengembangkan perniagaan bagi meraih keuntungan yang berlipat kali ganda,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama polis, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung serta badan bukan kerajaan kawasan Parlimen Tambun.

Ahmad Husni, yang juga Anggota Parlimen Tambun berkata peruntukan akan disalurkan kepada peniaga yang menyertai program pelbagai agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Beliau berkata potensi yang ditunjukkan sebahagian besar peniaga Bazar Ramadan menjadi kayu pengukur ke arah menjadikan mereka usahawan berjaya.

Ahmad Husni berkata berdasarkan pemerhatian, antara produk yang dijual di Bazar Ramadan boleh dikembangkan sebagai perniagaan francais, jika dilaksanakan dengan betul.

“Amat merugikan jika kegiatan mereka hanya sekadar ‘mencari duit raya’ sedangkan ia berpotensi berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita