Siapa Yang Sakit Telinga Dengar Bacaan Al Quran Di Pulau Pinang??

KOTA BHARU, 15 Ogos –  “Kenapa baru sekarang ada larangan tersebut sedangkan perkara itu (membaca Al Quran) telah lama dilakukan? Siapa yang sakit telinga dengar bacaan Al Quran di negeri itu hingga larangan itu terpaksa diadakan. Dan adakah larangan itu dilakukan mengikut prosedur yang betul?”.

Demikian persoalan yang dilemparkan Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Ustaz  Hj Mohd Afandi Yusof berikutan tindakan larangan pengunaan alat pembesar suara untuk membaca Al-Quran di masjid dan surau pada waktu subuh di Pulau Pinang oleh Jabatan Hal Ehwal Agam Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Larangan ini amat memalukan negara kita yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi. Memperdengarkan suara mengaji sebelum azan tidak pernah dilarang pada zaman nabi dan para sahabat.

“Bacaan ayat suci Al Quran ini adalah satu syiar dan merupakan kalamullah. Barang siapa yang membaca dan memperdengarkannya akan mendapat ganjaran pahala dan barang siapa yang mendengar dan menghayatinya juga turut mendapat pahala. Malah di zaman nabi dahulu, ayat Al Quran diperdengarkan kepada orang kafir. Mereka berasa kagum lalu beriman kepada Allah.

“Jadi, apa salahnya bacaan Al Quran berkumandang tidak kira sebelum azan apapun. Ianya bukan sesuatu yang menyakitkan malah ianya termasuk dalam kategori berdakwah. Amatlah memalu dan mengaibkan apabila perkara seperti ini berlaku dalam sesebuah negara Islam seperti Negara Malaysia,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau juga turut melahirkan rasa pelik terhadap beberapa larangan yang dilakukan di negeri di bawah pakatan pembangkang sedangkan perkara itu sebelum ini tidak menjadi masalah.

”Sekarang soal baca Al Quran guna pembesar suara, dulu perarakan Maulidur Rasul..tak tahu apa lagi selepas ini… mungkin selepas ini Azan pula tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara.

”Mungkin inilah hasilnya dakwah Pas terhadap rakan pakatannya yang semakin hari semakin mengenakan pelbagai larangan yang sebelum ini tidak mendatangkan masalah”, katanya. -MediaUMNO

 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita