Pembentukan Jawatankuasa Bukan Bermakna Sistem Pilihan Raya Tidak Baik

PUTRAJAYA, 16 Ogos – Pembentukan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk membincangkan reformasi pilihan raya bukan bermakna sistem pilihan raya yang sudah digunapakai selama ini tidak baik tetapi sebaliknya untuk memperkukuhkannya lagi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keputusan-keputusan pilihan raya sebelum ini tidak akan dipertikaikan yang kesemuanya dijalankan dengan telus, cuma ia akan diperbaiki berikutan minat kumpulan dalam masyarakat yang mahu supaya ia dilakukan.

“Dan itu juga diakui oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di mana perlu mereka memperkemaskan senarai daftar pemilih, memperkukuhkan cara undian dijalankan, undi pos, jadi itu proses yang sudah berjalan.

“Dengan adanya jawatankuasa, itu akan diambil kira dan jika ada perakuan yang mereka nak buat, mereka akan kemukakan supaya SPR dapat mengambil langkah sewajarnya,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan jawatankuasa tersebut yang akan dianggotai wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang untuk membincangkan reformasi pilihan raya yang perlu dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Najib berkata jawatankuasa yang akan dibentuk dalam waktu terdekat itu adalah tindak balas proaktif kerajaan BN bagi menangani pertikaian mengenai pilihan raya bebas dan adil yang dibangkitkan pihak tertentu baru-baru ini sehingga mencetuskan pelbagai pendapat serta polemik.

Muhyiddin berkata pembentukan jawatankuasa itu juga jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan BN dan sependapat dengan banyak pihak tentang perlunya ada satu sistem pilihan raya yang adil dan bersih.

“Jadi, bukan satu tuntutan pihak pembangkang sahaja. Jika kita mahu pilihanraya itu berjalan dengan bersih dengan cara yang adil dan kita mahu dipilih sebagai kerajaan atas dasar yang saksama, dengan keputusan itu bermakna kita mengamalkan sikap yang telus.

“Kita mengambil pandangan dengan serius. Jadi, pastinya ahli-ahli parlimen yang terpilih daripada kerajaan dan pembangkang yang dikatakan akan bersidang dalam tempoh terdekat, mereka akan melihat aspek-aspek tertentu dari segi apa  yang ada dalam sistem sekarang dan bagaimana cara untuk diperkemaskan dandiperbaiki,” katanya.

Beliau berkata langkah itu akan melibatkan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk SPR dan dengan muafakat daripada semua pihak, pastinya sistem pilihanraya boleh diperkukuhkan lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita