Tiga Tahun Jadi Bukti… Berkerajaan Tak Semudah Bercakap

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Menjadi sebuah kerajaan tidak semudah bercakap sebagaimana janji-janji pembangkang ketika berkempen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu yang gagal dilaksanakan biar pun telah tiga tahun rakyat memberi mandat kepada mereka, kata Setiausaha Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim.

Katanya, tindakan pembangkang yang gagal menunaikan apa yang telah diucapkan adalah bukti janji-janji kosong yang perlu menjadi penilaian kepada masyarakat dan bahawa parti dan individu yang mereka pilih telah gagal.

“Semasa pembangkang belum mendapat kuasa, mereka menaburkan pelbagai janji dan kini setelah tiga tahun mereka bukan hanya gagal malah lebih dari itu telah banyak menyusahkan rakyat,” jelasnya.

Dalam hal ini beliau mengambil contoh bagaimana kerajaan Pas Kedah telah bertindak menyusahkan rakyat apabila membatalkan kemudahan untuk membayar bil di pejabat pos sebaliknya ia perlu dijelaskan di pejabat Syarikat Air Darul Aman (SADA) di pusat bandar selain pembayaran premium tanah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berkali ganda daripada nilai sebenar.

“Ini adalah antara perkara-perkara yang rakyat perlu lihat sehinggakan golongan warga emas dan masyarakat yang berada jauh dari pusat bandar terpaksa menyewa kereta atau menaiki teksi semata-mata untuk membayar bil air yang adakalanya melebihi jumlah bil yang mahu dibayar. Bukankah itu menyusahkan?” katanya yang juga Yang diPertua MUBARAK Kedah.

Jelasnya, aspek pembangunan bukan hanya boleh dinilai sekelip mata sebaliknya ia dilakukan dengan perancangan dan tempoh yang tertentu sebagaimana dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN).

“Saya datang dari kampung, jadi saya tahu bagaimana keadaan kampung saya 20-30 tahun dulu dan sekarang, bukan sahaja keadaan frasarana kampung itu saja tetapi bagaimana perubahan dalam kehidupan, sosioekonomi rakyat di kampung-kampung misalnya kalau dulu kita di kampung-kampung basikal pun tak ada tetapi sekarang petani MADA sudah berkereta dan ada yang sampai dua tiga buah, lori, memiliki rumah yang lengkap dengan kemudahan elektrik dan lain-lain lagi.

“Dari segi pembangunan yang telah dilaksanakan, mereka hanya mengakuinya kononnya ada kemajuan sedangkan peruntukan pembangunan yang dilaksanakan di Kedah adalah yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan. Bukan sahaja lebuh raya, atau jalan persekutuan dan jalan negeri malah jalan-jalan MADA yang ada hari ini dilaksanakan oleh kerajaan BN pusat tetapi mereka apabila siap jalan mengaku pula kononnya ini adalah projek mereka.”

Tambahnya lagi, kalau dulu sebelum memerintah Pas mendabik dada mengecam BN kononnya tidak melaksanakan dasar Islam dan sebagainya tetapi apabila mereka memerintah hari ini mereka terpaksa tunduk kepada tekanan Dap yang juga gagal melaksanakan janji sendiri.

“Dulu mereka kata nak tegakkan sebuah negara Islam tetapi hari ini tak ada melainkan negara kebajikan sedangkan ini sepatutnya mereka tak perlu cakap kerana BN telah melaksanakan kerajaan berkebajikan sejak dari hari pertama memerintah sehinggalah sekarang.

“BN buat jalan, universiti, bantu orang susah, adakan perumahan untuk rakyat miskin, beri biasiswa dan macam-macam lagi adalah bukti kebajikan. Malahan rakyat hari ini hidup dalam pelbagai kemudahan dengan subsidi misalnya gula, minyak dan lain-lain lagi barang keperluan yang dikongsi perbelanjaannya antara rakyat dan kerajaan,” terangnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar menilai sendiri bagaimana kelakuan pembangkang apabila berkerajaan.

“Kita telah melihat banyak negara yang kebuluran dan kekacauan sehinggakan kanak-kanak tinggal rangka dengan dihurung lalat dan itulah sebenarnya suasana jika negara tidak aman, terlalu banyak politik, rakyat tidak bersatu, pentadbir tidak pandai mengurus dan tanda-tanda itu ada pada pembangkang.” – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita