Belum Apa-apa Pembangkang Sudah Gila Kuasa

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Tindakan pakatan pembangkang yang mahukan kepimpinan dalam Jawatankuasa Pemilihan Parlimen diberikan kepada wakil mereka atas alasan memastikan ketelusan dan keberkesanan penubuhannya adalah sesutau yang membuktikan sifat tamak mereka.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan membidas sikap pembangkang yang terbukti gilakan kuasa sedangkan ia sepatutnya perlu diputuskan mengikut majoriti kedudukan dalam Parlimen sendiri.

“Inilah inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mengelakkan sebarang syak wasangka wujud dan manipulasi oleh pihak tertentu tetapi baru saja diumumkan pembangkang sudah nyatakan mahu jadi pengerusinya sedangkan sepatutnya mereka beri input dan komitmen untuk jayakan jawatankuasa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkaitan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menuntut supaya ia diketuai oleh pembangkang.

“Pembangkang boleh menjadi pengerusi atau ketua bagi jawatankuasa ini tapi itu akan berlaku sekiranya mereka menjadi kerajaan pusat dan sekarang ini sudah jelas yang berkerajaan adalah Barisan Nasional (BN) jadi terserahlah pada BN apatah lagi majoriti anggota Parlimen juga adalah dari BN.”

Tambahnya lagi, kenyataan pemimpin pembangkang ini secara jelas menunjukkan bahawa ketidakikhlasan mereka dalam memastikan ketelusan penubuhan jawatankuasa terpilih Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat.

“Jika pembangkang sebagai anggota Parlimen benar-benar jujur maka sewajarnya mereka memberikan input serta turut terlibat secara langsung sebagaimana yang Perdana Menteri nyatakan iaitu anggota parti kerajaan dan pembangkang berbincang bersama-sama apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah matlamat penubuhan jawatankuasa tersebut.

“Malangnya, belum pun ia menjadi realiti mereka sudah menuntut untuk mendapatkan kuasa yang menunjukkan bahawa mereka tidak ikhlas untuk menganggotainya apatah lagi untuk mendapatkan hasil sebagaimana matlamat penubuhannya,” jelasnya.

Isnin lalu, Najib mengumumkan pembentukan jawatankuasa tersebut yang akan dianggotai bersama antara wakil kerajaan BN dan parti pembangkang untuk membincangkan penambahbaikan pilihan raya di negara ini.

Jawatankuasa ini dibentuk sebagai langkah proaktif kerajaan BN bagi menangani pertikaian mengenai pilihan raya bebas dan adil yang dibangkitkan pihak tertentu baru-baru ini sehingga mencetuskan pelbagai pendapat serta polemik. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita