J/k Terpilih Parlimen Landasan Terbaik Suarakan Pendapat

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Semua parti politik disaran supaya memanfaatkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang akan ditubuhkan sebagai satu landasan terbaik untuk mereka menyuarakan pendapat dan bantahan bagi menambah baik sistem pilihan raya negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, jawatankuasa yang bakal dianggotai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pembangkang itu diharap mampu mendengar dan sekali gus mengatasi segala permasalahan yang timbul gara-gara kononnya sistem pilihan raya tidak bersih.

Jelasnya, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menubuhkan jawatankuasa itu untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada semua pihak menyelesaikan segala rungutan kerana langkah penambahbaikan sistem pilihan raya menjadi tuntutan bukan sahaja pihak pembangkang malah parti pemerintah sendiri.

“Penubuhan Jawatankuasa ini merupakan satu landasan yang boleh dimanfaatkan berbanding mengadakan demonstrasi jalanan yang mungkin boleh membabitkan nyawa manusia atau kemusnahan harta yang tidak memberi manfaat kepada negara.

“Saya harap ia dapat diterima baik oleh semua untuk cuba mengatasi apa yang mereka suarakan. Jangan pula nanti ada pihak menidakkan fungsi jawatankuasa ini kerana ia ditubuhkan di peringkat Parlimen yang merupakan sebuah jawatankuasa bebas dan kuasa tertinggi,” katanya di Bangi dekat sini hari ini.

Perdana Menteri semalam mengumumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen dalam masa terdekat bagi menambah baik sistem pilihan raya negara agar tidak timbul sebarang syak wasangka pada masa hadapan.

Katanya, jawatankuasa itu akan berbincang serta mencari kata sepakat mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 sekali gus menjadi bukti kerajaan komited dengan sistem pilihan raya yang bersih.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Daftar Pemilih UMNO kesal dengan tuduhan parti pembangkang bahawa UMNO menjadi tali barut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam isu daftar pemilih termasuk desakan mereka supaya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletak jawatan.

“Saya harap sekiranya mereka tidak berpuas hati, salurkan sahaja menerusi landasan betul. Saya yakin SPR telah melakukan banyak pertemuan dengan parti-parti politik termasuk pembangkang untuk memberikan penerangan.

“Sepatutnya mereka melihat dari sudut kebaikan bukan mementingkan ideologi politik semata-mata,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita