Terap Perasaan Cinta Jalur Gemilang Menerusi Cerita Rakyat, Permainan Kanak-Kanak

SHAH ALAM, 16 Ogos – Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berharap semangat cintakan tanah air menerusi Jalur Gemilang dapat diterap dari peringkat awal menerusi cerita rakyat atau permainan kanak-kanak.

Beliau berkata kanak-kanak dapat diasuh agar cintakan negara dan Jalur Gemilang melalui cerita atau permainan yang dibayangi dengan bendera Malaysia.

“Ini bukan mudah tetapi dengan pertolongan Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan RTM (Radio Televisyen Malaysia) dan lain-lain saya yakin kita boleh pupuk balik perasaan ini,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2011 peringkat Negeri Selangor anjuran Jabatan Penerangan Selangor, Polis Kontinjen Selangor dan Persatuan Pemandu Teksi serta Kereta Sewa Malaysia (Petekma) di sini.

Rais juga berkata bagi menjayakan program nasionalisme seperti mengibarkan Jalur Gemilang, penganjur tidak harus berasa muak atau bosan melakukannya setiap tahun.

“Kita perlu ulang dan ulang sehingga tersusup di dalam hati mereka (rakyat), dan dapat menjelmakannya di dalam lambang kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu mengetepikan pegangan politik mereka dan bersama-sama mengibarkan Jalur gemilang di rumah atau di pejabat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita