The Star DiMinta Lakukan ‘Sesuatu’ Penyiaran Artikel Ramadan

PUTRAJAYA, 16 Ogos – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang masih belum berpuas dengan penjelasan akhbar The Star berhubung penyiaran artikel sisipan Ramadan pada minggu lepas, meminta akhbar itu berbuat ‘sesuatu’ untuk memastikan pihak yang merasa tersinggung mendapat penjelasan sepenuhnya daripada akhbar itu.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata penjelasan kepada rakyat adalah lebih penting berbanding penjelasan kepada beliau atau kementeriannya sendiri.

“Yang saya tidak berpuas hati itu yang menyebabkan saya minta Ketua Pengarang akhbar berkenaan jumpa saya hari ini untuk mendapatkan penjelasan bagaimana kita dapat pastikan jika kesilapan berlaku ia mesti dinyatakan sejelas-jelasnya kekesalan itu terhadap rakyat beragama Islam,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarang The Star juga telah dipanggil Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

“Tetapi apabila jawapan diberi kepada pegawai kita… saya rasa saya tengok bila sudah dikipas dan diapi-apikan oleh pihak tersinggung, saya rasa penting untuk kita buat ‘sesuatu’ untuk turunkan suhu kemarahan orang supaya tiada polemik berlaku,” katanya.

Akhbar berkenaan dalam sisipan ‘Dining Out’ dengan ‘Ramadan Delights’ sebagai tajuk muka depan pada minggu lepas, telah menyiarkan artikel yang memuatkan gambar-gambar masakan daging khinzir serta artikel mengenai restoran tidak halal yang menyediakannya.

Mengulas pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Hishammuddin berkata ia menunjukkan kesediaan kerajaan untuk mempertahankan pemerintahan yang adil serta berwibawa demi kepentingan masa depan bangsa dan negara.

Beliau juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai tapisan bahan-bahan penerbitan yang perlu dikaji semula dan menyifatkan ia diumumkan tepat pada waktunya.

“Ini kerana pada masa ini kita berhadapan dengan pelbagai persepsi negatif akibat daripada amalan-amalan tradisi yang kita laksanakan selama ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita