Isu JAIS Dan Gereja Di Selangor : Pas Gagal Jadi Talam Dua Muka

KUALA LUMPUR 18 Ogos –  Setelah dibidas oleh pelbagai pihak berhubung polemik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Gereja Methodist  di Damansara baru-baru ini, Pemuda UMNO Selangor pula hari ini tampil dengan melihat Pas sebenarnya sedang mencari dahan untuk berpaut sebelum mengeluarkan pendirian rasmi.

Ketua Pemuda Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal berkata perkara  itu boleh dilihat daripada  tindak-tanduk Pas yang seolah-olah “hidung tak mancung pipi tersorong-sorong” apabila seolah-olah dilihat tidak dilayani oleh pihak Gereja mahu pun pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut beliau persoalan yang timbul ialah kenapakah kedua-dua pihak menanggguhkan perjumpaan dengan pucuk pimpinan Pas yang hari ini nampak terserlah cuba bermain wayang semata-mata untuk menjaga kepentingan politik mereka khususnya di kalangan pengundi bukan Islam.

“Saya cukup hairan…Apakah kedua-dua pihak yang terlibat dalam isu berkenaan tidak yakin dengan Pas tatkala parti itu cuba mencari dahan untuk berpaut sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

“Mungkin atas faktor sikap talam dua muka Pas ini, pihak JAIS dan Gereja masing-masing hingga ke hari ini tidak mencapai kata sepakat untuk mengakan perjumpaan dengan pucuk pimpinan Pas,” katanya kepada UMNO-Online.

Sejak tercetusnya polemik JAIS dan Gereja Methodist di Damansara baru-baru ini, Pas sehingga kini mengambil sikap berdiam diri dan mereka terus diasak oleh pelbagai pihak termasuk Ketua Pemudanya sendiri, Nasaruddin Tantawi agar megeluarkan pendirian.

Mereka kononnya mahu memberikan keadilan kepada semua pihak apabila mahu mengadakan pertemuan terlebih dahulu dengan JAIS dan pihak Gereja sebelum mengeluarkan sebarang pendirian rasmi.

Namun hingga ke hari ini baik daripada pihak JAIS mahu pun pihak Gereja Methodist, masing-masing menangguhkan pertemuan dengan pucuk pimpinan Pas dengan alasan tertentu.

Mengulas lebih lanjut, Ungku Salleh yang juga Ketua Pemuda Serdang seterusnya menambah Pas hari ini bukan sahaja tidak bermaruah, malah lebih daripada itu apabila membiarkan Islam diperkotak-katikkan oleh pihak lain.

“Soal beliau apakah DAP begitu berkuasa…Apakah PKR cukup bertenaga hinggakan Pas seolah-olah kelu dalam memperkatakan hal berkenaan yang mana ianya merupakan maruah umat Islam.

“Berpolitik ada batasnya…Janganlah kerana politik, serban dan kopiah yang dipakai sekadar alat untuk menghiaskan badan semata-mata,”katanya. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita