Isu JAIS Dan Gereja : Kerajaan Selangor Gagal, Pas Dayus

KUALA LUMPUR 18 Ogos  – Kerajaan Selangor hari ini bukan sahaja dibidas kerana gagal menyelesaikan segera polemik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Gereja Methodist  di Damansara baru-baru ini, malah sekutunya, Pas dianggap dayus kerana hingga kini masih gagal menuntut kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu tersebut.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata atas kegagalan berkenaan Pas seolah-olah hilang punca dengan membuat tuduhan yang tidak berasas dan ada fakta apabila mengaitkan UMNO dengan polemik tersebut.

Justeru beliau yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasioanl (BN) menyarankan agar parti mengambil tindakan undang-undang terhadap Pas sekiranya mereka tidak dapat membuktikan tuduhan berkenaan dalam tempoh tiga hari seperti yang dituntut UMNO Selangor.

“Ini tuduhan serius dan perlu kita bawa ke Mahkamah supaya tidak ada lagi tuduhan yang tidak berasas dan tidak ada fakta yang tuding jari kepada UMNO. Ini jelas bahawa Pas hari ini cuba alihkan perhatian terhadap kita.

“Mereka dilihat begitu dayus menangani isu ini. Pemuda daripada awal lagi menyuarakan bahawa laporan daripada JAIS itu perlu diumumkan dalam masa terdekat dan ianya tidak boleh ditangguhkan.

“Benda ini menimbulkan kemarahan bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi juga kemarahan orang Kristian di Malaysia sebab kedua-dua pihak merasakan isu ini penting. Pihak Islam lihat isu ini isu murtad , manakala rakyat Malaysia beragama Kristian lihat  serbuan dan tuduhan  tanpa asas dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang berita bagi mengumumkan program Ekpedisi Desa 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Khairy seterusnya menambah ketidakcekapan kerajaan Selangor  telah menyumbang kepada kes ini menjadi satu kes kontroversi yang besar yang menimbulkan kemarahan kedua-dua belah pihak.

“Hari ini kita tahu siapa tidak cekap iaitu kerajaan negeri, manakala yang dayus pula adalah Pas kerana mungkin mereka takut dengan rakan lain dalam pakatan. Tidak ada sebab ditangguhkan…Baik selepas raya atau sebelum raya.

“Kita nak kes ini diselesaikan segera. Sebab kalau kes ini tidak diselesaikan hari ini sampai laporan itu diumumkan akan ada tanggapan negatif di kalangan umat Islam terhadap gereja berkenaan, manakala di kalangan orang Kristian  pula pandang JAIS serong dan sebagainya.

“Kita nak kebenaran dan saya  tidak mahu tuduh mana-mana pihak……gereja lakukan murtad, JAIS buat salah dan sebagainya…..Itu tidak boleh. Kita nak laporan. Kita dengar JAIS buat kerja ini berdasarkan laporan tetapi kita sebenarnya tidak rahu apa yang berlaku. Yang akhirnya berlaku hari ini adalah polemik antara umat Islam di Malaysia dengan orang Kristian sebab kegagalan kerajaan di Selangor dan kegagalan Pas untuk selesaikan kes ini,” ujarnya.

Berhubung penubuhan jawatankuasa khas terpilih Parlimen untuk memperkukuhkan undang-undang dan peraturan berkaitan pilihan raya di negara ini, Khairy memberitahu langkah tersebut membuktikan Perdana Menteri sentiasa komited melakukan transformasi demi kebaikan rakyat.

Beliau juga berharap parti pembangkang tidak menjadikan penubuhan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen sebagai isu politik, malah ikhlas  bekerjasama memperkukuhkan sistem pilihan raya negara melalui jawatankuasa itu.

“Transformasi sistem pilihan raya bergantung kepada kerjasama BN dan pembangkang,” katanya.

Khairy berkata pembangkang juga tidak patut meletakkan syarat tertentu bagi menganggotai jawatankuasa itu memandangkan jawatankuasa itu merupakan  ruang terbaik bagi mereka menyuarakan cadangan.

Beliau juga berharap jawatankuasa yang akan ditubuhkan itu nanti dapat  menyiasat dua isu berkaitan pilihan raya iaitu mengenai pemindahan pemilih ke kawasan tertentu serta fitnah yang dilemparkan pembangkang melalui kain rentang dan media baru terutamanya apabila tiba musim pilihan raya.

“Kita ada terima laporan mengatakan pembangkang ada memindahkan pemilih yang merupakan penyokong mereka ke kawasan tertentu supaya mereka boleh menang di kawasan itu,” katanya.

Kabinet hari ini bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas terpilih Parlimen untuk memperkukuhkan undang-undang dan peraturan berkaitan pilihan raya di negara ini dan usul cadangan itu akan dibentangkan pada Parlimen Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata jawatankuasa itu akan dianggotai sembilan wakil rakyat terdiri lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita