Pembangkang Habis Modal, Cuba Pertikai Jawatankuasa Terpilih Parlimen

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas anggota Parlimen pembangkang yang sengaja menjadikan jawatankuasa terpilih Parlimen sebagai bahan untuk dimanipulasikan sedangkan ia sepatutnya mendapat sokongan berdasarkan kepada matlamat penubuhannya.

Katanya, pembangkang sememangnya berniat tidak ikhlas apabila awal-awal lagi mahukan kuasa pentadbiran dan kepimpinan jawatankuasa tersebut diberikan kepada mereka sedangkan ia sewajarnya mengikut majoriti dalam Parlimen.

“Pembangkang beri alasan untuk ketuai kepimpinan jawatankuasa tersebut kononnya untuk mencerminkan konsep demokrasi sebenar walhal sekiranya tidak ada demokrasi tentulah jawatankuasa ini akan dianggotai sepenuhnya oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN),” katanya.

Isnin lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu dalam usaha untuk menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

“Jika Datuk Seri Najib dan kerajaan BN tidak ikhlas, maka tentunya tidak akan ada wakil dari anggota Parlimen pembangkang dan bebas dalam jawatankuasa ini tapi ketetapan telah dibuat bahawa mereka juga akan turut terlibat bagi membincangkan langkah-langkah untuk memperkukuhkan undang-undang dan peraturan berkaitan pilihan raya di negara ini,” katanya.

Dilaporkan Kabinet bersetuju usul mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut dan akan dibentangkan pada persidangan Parlimen Oktober depan yang akan dianggotai oleh sembilan wakil rakyat terdiri daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Ekoran itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyatakan jawatankuasa tersebut sudah tempang ekoran tidak diketuai pembangkang selain hanya dianggotai oleh tiga orang wakil mereka.

“Kerajaan telus untuk mewujudkan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini selain membuktikan bahawa kerajaan sedia membuat pembaharuan agar sistem pilihan raya negara dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan sepatutnya pembangkang berbesar hati untuk sama-sama menyumbang idea dalam memastikan tujuan jawatankuasa ini ditubuhkan tercapai.

“Sepatutnya perkara siapa yang menerajui jawatankuasa ini bukanlah isu utama kerana apa yang penting adalah pengisian dan input-input yang boleh digunapakai dalam menyumbang ke arah pelaksanaan yang mantap dan berkesan,” katanya.

Justeru, Tengku Adnan yang juga ahli Parlimen Putrajaya meminta agar wakil rakyat pembangkang bersikap matang dan rasional serta tidak menjadikan penubuhan dan kepimpinan dalam jawatankuasa terpilih parlimen sebagai bahan polemik untuk disensasikan.

“Penubuhan jawatankuasa ini dilaksanakan sebagai usaha terbaik bagi memperbaiki proses pilihan raya dalam negara kita selain menjadi bukti bahawa BN tidak takut kepada pembaharuan kerana apa yang penting siapa pun yang memerintah negara ini mestilah berasaskan kepada kehendak rakyat sebenar.

“Jika kerajaan tidak telus dan mempunyai pengaruh dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana yang didakwa pembangkang maka tentulah jawatankuasa ini tidak perlu ditubuhkan apatah lagi melibatkan keanggotaan pelbagai parti termasuk wakil dari pembangkang dan bebas,” tegasnya. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita