UMNO Teluk Intan Belajar Dari Kekalahan PRU 12

TELUK INTAN, 18 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan, Datuk Idris Hashim berkata pihaknya telah mula merangka kerja selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dengan mengkaji segala kelemahan dan kesilapan.

Jelas beliau kelemahan dan kesilapan yang dikesan itu akan diperbaiki agar rakyat kembali memberikan sokongan penuh kepada parti.

Terangnya, berkat usaha keras UMNO Bahagian dan juga kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kini dapat dilihat semakin ramai masyarakat kembali menyokong Barisan Nasional (BN) terutamanya pengundi kaum India.

“Kita sedar PRU sudah semakin hampir dan banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan kita terus memerintah. Sebenarnya tugas-tugas utama bagi menghadapi PRU akan datang telah dilaksanakan oleh Perdana Menteri sendiri dan kini tugas UMNO Bahagian pula memainkan peranan untuk memantapkan lagi parti dan mendapatkan kepercayaan rakyat mengundi BN.

“Kekalahan semasa PRU yang lalu benar-benar memberi perangsang dan kesedaran kepada kita agar segera memperbaiki segala kelemahan yang ada. Isyarat telah diberi, sekiranya kita terus leka dan tidak mengambil sebarang iniasatif sudah pasti kita tidak mampu meraih perhatian rakyat di Teluk Intan ini,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai gerak kerja yang diatur menjelang PRU 13, Idris menjelaskan, ianya diatur mengikut peti undi bersama-sama agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, cara ini jauh lebih berkesan mendekati pengundi daripada mengadakan program besar-besaran yang impaknya tidak diketahui terutamanya di kawasan pembangkang.

Selain itu, beliau turut mengingatkan agar semua ketua bahagian dan ahli parlimen terus memberikan yang terbaik untuk parti agar hasrat mendapat majoriti dua per tiga tercapai.

“Saya berharap semua ketua bahagian dan ahli parlimen yang ada sekarang ini cubalah untuk ‘memenangi’ kerusi yang diduduki sekarang ini. Maksudnya buatlah kerja dengan baik dan boleh dinilai oleh rakyat. Sekiranya ahli parlimen yang ada sekarang ini berjaya menang di PRU akan datang, BN dah menang dan boleh memerintah. Bahagian-bahagian lain sekiranya menang merupakan bonus kepada parti kerana kita mahu BN mendapat dua pertiga majoriti.

“Saya berpendapat dan berharap agar jangan ada pihak dalam UMNO dan BN yang mempertikaikan siapa yang akan menjadi calon di PRU akan datang. Siapa yang terpilih, kita berikan sokongan penuh kerana sikap terlalu ingin memegang jawatan ini bakal merosakkan parti,” ujarnya. –MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita