Isu JAIS – Gereja : Mainan Politik Pas & PKR Makan Diri Sendiri

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi  UMNO, Datuk Razali Ibrahim menyifatkan pembangkang khususnya Pas dan PKR  terjerat dengan mainan politik mereka sendiri khususnya yang melibatkan soal agama Islam.

Menurut beliau polemik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Gereja Methodist di negeri itu baru-baru ini yang secara kebetulannya terjadi pada bulan yang penuh berkat, Ramadhan Al-Mubarak  seolah-olah ada hikmah yang tersendiri.

“Akhirnya kita semua  diberikan petunjuk  apabila  mereka membuat sesuatu perkara bukan kerana agama tetapi atas kepentingan yang lain akhirnya mereka sedang menanggung kesilapan mereka sebagai “partnership” yang pada saya ditunjukkan pada  pada bulan Ramadhan ini untuk kita berfikir bahawa mainan politik Pas dan PKR akhirnya memakan diri mereka.

“Dalam soal agama kita tidak seharusnya meletakkan kepentingan kita lebih daripada segalanya. Ini soal hukum yang sepatutnya kita kena bertegas dan berani mempertahankannya. Dan saya berharap  Ketua Pemuda Pas, Nasaruddin Tantawi  diberikan kekuatan untuk berdepan dengan situasi yang berlaku di dalam Pas hari ini,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Sejak tercetusnya polemik JAIS dan Gereja Methodist di Damansara baru-baru ini, Pas sehingga kini mengambil sikap berdiam diri dan mereka terus diasak oleh pelbagai pihak termasuk Ketua Pemudanya sendiri, Nasaruddin Tantawi agar megeluarkan pendirian.

Mereka kononnya mahu memberikan keadilan kepada semua pihak apabila mahu mengadakan pertemuan terlebih dahulu dengan JAIS dan pihak Gereja sebelum mengeluarkan sebarang pendirian rasmi.

Namun hingga ke hari ini baik daripada pihak JAIS mahu pun pihak Gereja Methodist, masing-masing menangguhkan pertemuan dengan pucuk pimpinan Pas dengan alasan tertentu.

Razali yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah apa yang berlaku di Selangor hari ini menjadi bukti bahawa segala tohmahan mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN)  sejak sekian lama terbongkar.

“Keluhan yang keluar daripada Ketua Pemuda Pas sendiri baru-baru ini bahawa kesukaran daripada dalaman sendiri  untuk meninggikan syiar Islam adalah satu petunjuk yang nyata  bahawa selama ni tuduhan terhadap UMNO tidak betul,”katanya.

Beliau seterusnya menempelak pembangkang selain melihat mereka yang membuat tuduhan tanpa usul periksa dan bukti yang jelas berhubung kaitan UMNO dengan isu serbuan JAIS ke ats Gereja serta yang terbaru kebakaran yang melibatkan pejabat DAP Pulau Pinang sebagai pemimpin yang gagal.

Menurut beliau mereka yang menyalahkan orang lain dalam setiap perkara adalah mereka yang gagal dan tujuan serta matlamat utama adalah semata-mata untuk menimbulkan kebencian di kalangan masyarakat terhadap UMNO dan BN.

“Jalan paling mudah adalah menyalahkan orang lain. Berbanding dengan UMNO dan BN, kita tidak menyalahkan sesiapa sahaja walaupun tsunami politik 2008 malah kita cari jalan untuk mencari jalan penyelesaian dan pemimpin kita berjaya.

“Sebab itu Datuk Seri Najib Razak perkenalkan banyak perkara seperti  NKRA, ETP, GTP  dan sebagainya tanpa menyalahkan mana-mana pihak. Hanya pemimpin yang gagal yang akan menyalahkan orang lain dan saya percaya kita tidak boleh pilih pemimpin yang gagal untuk menerajui negara.

“Contoh kalau kita gagal dalam perniagaan dan salahkan bank kita akan gagal selamanya. Begitu juga dalam sukan kalau kita kalah dalam satu perlawanan dan kemudiannya salah jurulatih, salahkan penonton kita tidak akan berjaya. Tetapi  kalau dalam kedua-dua suasana tadi  berlaku kegagalan dan kita mencari jalan keluar kita akan menjadi seorang yang berjaya. Jadi pemimpin yang menyalahkan orang lain adalah jalan pintas dan mudah tetapi sebenarnya pemimpin yang gagal,” katanya.

Beliau seterusnya menyeru agar ahli Pemuda khususnya tidak melatah dengan politik provokasi sedemikian rupa sebaliknya memberi tumpuan terhadap tugas serta tanggungjawab besar untuk melaksanakan amanah terhadap rakyat. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita