Pas Amal Gaya Komunis “Matlamat Halalkan Cara”

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Fitnah dan pembohongan yang dibuat ke atas UMNO dan ahli-ahli UMNO adalah bukti bahawa Pas berpegang teguh pada gaya komunis yang berpandukan kepada ‘matlamat menghalalkan cara’ selain menggunakan Islam sebagai topeng politik.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Belanja, Perak, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan membidas tindakan Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda Pas, Suhaiza Kaiat kononnya UMNO mendalangi ahli-ahlinya dengan memiliki dua kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi di dua tempat berbeza dalam pilihan raya.

“Inilah sikap sebenar Pas yang suka menyalahkan orang lain dan gemar membuat tuduhan tanpa bukti sedangkan individu terbabit sememangnya wujud. Mereka tidak berfikir tetapi sanggup melakukan apa saja cara asalkan ia dapat memburukkan kerajaan dan UMNO hancur,” katanya.

Pendedahan media hari ini membuktikan bahawa ketiga-tiga nama yang dinyatakan oleh Pas iaitu Azhar bin Ahmad, Besah binti Mat dan Mansor bin Ahmad adalah dua individu yang memiliki identiti sama melainkan dua digit terakhir dalam nombor kad pengenalan sahaja.

“Pemimpin-pemimpin Pas ini bukan hanya telah melakukan penipuan malahan apa yang mereka katakan sebenarnya langsung tidak boleh diambil kira kerana tidak benar sama sekali.

“Kita lihat bagaimana dengan isu berkaitan larangan menggunakan pembesar suara untuk bacaan al-Quran sebelum subuh di Pulau Pinang, Nik Aziz yang merupakan Mursyidul Amnya menyokong larangan itu tanpa alasan yang munasabah sedangkan di Kelantan ia dibolehkan.”

Jelasnya bagaimana seorang yang bergelar tok guru enggan mempertahankan agamanya sendiri lantaran terpaksa tunduk kepada pihak lain sedangkan Pas itu sendiri menggunakan nama Islam.

“Begitu juga dengan Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali yang awal-awal lagi membuat tuduhan kepada UMNO sebagai dalang serbuan JAIS ke atas gereja berkenaan walaupun jelas sekali ia mendapat restu bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Hassan Ali,” ujarnya.

Tambahnya, berdasarkan kepada apa yang berlaku sewajarnya tindakan undang-undang diambil ke atas Pas yang sememangnya telah terbukti melakukan pembohongan dan membuat fitnah ke atas UMNO.

“Mereka perlu dihukum kerana kesalahan yang mereka lakukan boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat sendiri,” katanya. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita