Masalah Bekalan Air Punca Kelantan Gagal Tarik Pelabur – Awang Adek

PASIR PUTEH, 20 Ogos – Kegagalan kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas  terutama bekalan air merupakan antara faktor Kelantan ketinggalan dalam menarik pelaburan asing berbanding negeri jiran, Terengganu dan Pahang, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

“Pelabur tidak mahu masuk melabur kerana mereka terpaksa menanggung kos lebih tinggi untuk membina sendiri kemudahan asas, terutama bekalan air,” kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan wang zakat kepada lebih 1,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri Perupuk hari ini.

Menteri itu mengulas kenyataan kerajaan Terengganu yang yakin pelaburan industri berasaskan bioteknologi bernilai RM2 bilion di Zon Ekonomi Khas (SEZ), Taman Polimer Kertih, Kemaman, akan memainkan peranan penting bagi memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi rakyat dan pembangunan keseluruhan negeri berkenaan.

Dr Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, kesal kepimpinan Kelantan tidak bersungguh-sungguh mempromosi peluang pelaburan dan perniagaan di negeri itu.

“Mereka juga mungkin tidak faham kaedah menarik pelancong, selain tidak mempunyai pengalaman mengenainya,” katanya.

Beliau berkata rakyat Kelantan harus menyedari hakikat itu dan sedia berubah dengan memilih sebuah kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah mereka.

Dr Awang Adek berkata agenda pertama yang akan dilakukan Barisan Nasional jika diberi peluang memerintah negeri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 ialah menyelesaikan masalah kemudahan asas kerana ia merupakan tonggak kemajuan sesebuah negeri.

 

 

 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita