Pemberian Dividen Bukti Kejayaan Sektor Perladangan Negara – Najib

PEKAN, 20 Ogos – Risda memberikan dividen berjumlah RM179.6 juta kepada seramai 42,206 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Baru Berkelompok (TSK) bagi tahun 2010.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian dividen itu dilihat satu kejayaan besar dalam sektor perladangan negara.

“Ini adalah bentuk kejayaan yang dibuat secara berkumpulan dan semoga dividen yang diterima sedikit sebanyak membantu peserta untuk perbelanjaan sambutan hari raya,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian dividen RTBB dan TSK Risda peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal.

Perdana Menteri berkata dalam usaha untuk memastikan sektor pekebun kecil tidak tertinggal dalam Model Baru Ekonomi (MBE), Risda turut diminta mengkaji dan menyediakan perancangan serta pelan tindakan MBE dari perspektif sector pekebun kecil serta mencadangkannya kepada kerajaan.

“Salah satu yang saya tekankan ialah meminta Risda melancarkan gerakan membaja di seluruh negara supaya setiap orang pekebun kecil akan membaja setiap pokok getah atau sawit mengikut jadual.

“Ini akan dapat meningkatkan hasil dan pendapatan pekebun kecil selari dengan MBE,” katanya.

Najib berkata para pekebun kecil juga perlulah tidak bersikap mudah selesa sebaliknya memberi komitmen lebih tinggi dan sentiasa respon kepada teknologi, pendekatan mahupun sistem yang diperkenalkan dari semasa ke semasa.

“Apa yang perlu dilakukan ialah pekebun perlu mengubah minda dan sikap untuk melihat tanah sebagai aset untuk menjana pendapatan secara maksima.

“Saya juga berharap dengan kenaikan kadar bantuan Tanam Semula tahun lalu, ramai pekebun kecil yang menyertai program tanam semula dapat meluaskan kawasan getah masing-masing termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Najib berkata Risda juga perlu mengambil tindakan bersepadu dalam usaha memajukan tanah-tanah terbiar di seluruh negara.

“Risda perlu ambil tindakan untuk memajukan tanah-tanah terbiar dan tanam dengan hasil tanaman seperti getah dan sawit tapi ini tertakluk kepada peruntukan yang sedia ada kepada Risda dan kita akan kaji semula peruntukan yang diperlukan dalam Rancangan Malaysia ke-10,” katanya.

Najib berkata selain itu pendekatan teknologi juga dilihat mampu untuk meningkatkan lagi produktiviti dan pendapatan para pekebun kecil.

“Pendapatan tidak seharusnya bergantung kepada harga saiz (kebun) semata-mata tapi jika amalkan teknik yang terbaik dan menggunakan teknologi dan tekun berusaha, pendapatan kita (pekebun kecil) dan produktiviti kita boleh dipertingkatkan supaya pembangunan pekebun kecil dapat diselarikan dengan MBE,” katanya.

 

 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita