Jangan Sangsi Keikhlasan Kerajaan Penambahkaikan Sistem Pilihan Raya – Najib

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (JTP) merupakan komitmen oleh kerajaan untuk menjadikan sistem pilihan raya negara lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya harap inisiatif kami mengenai JTP menunjukkan keikhlasan kami. Ini tidak bermakna kami percaya wujud manipulasi dalam sistem itu tetapi kami mahu menambahbaik lagi sistem itu.

“Jangan sangsi dengan keikhlasan kami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia yang kedua di Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Najib berkata demikian ketika mengulas dakwaan beberapa pihak tertentu bahawa JTP adalah tidak bermakna sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan tanpa melakukan reformasi sistem pilihanraya.

“Tarik pilihanraya adalah prerogatif kami tetapi kami komited untuk penambahbaikan sistem pilihanraya,” katanya.

Pada Rabu lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan JTP dengan usul cadangan penubuhan itu dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

JTP diketuai oleh seorang menteri dan akan dianggotai sembilan wakil rakyat iaitu lima daripada Barisan Nasional (BN), tiga daripada pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas.

 

 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita