GCM Mahu DUMC Dikenakan Tindakan Tegas

SHAH ALAM, 22 Ogos- Gerakan Cegah Murtad (GCM) sekali lagi ingin mengulangi keyakinan bahawa masjid, surau, tokong, kovil dan gereja tidak mempunyai masalah dalam masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Jurucakap GCM, Hamidzun Khairuddin berkata, yang cuba untuk membawa masalah dalam keharmonian yang dikecapi ini adalah Damansara Utama Methodist Church, (DUMC) Damansara Utama, Petaling Jaya melalui program yang dilaksanakan pada 3 Ogos 2011.

“Namun program ‘Thanks Giving Dinner’ yang berlangsung di DUMC itu merupakan event yang sepatutnya tidak merosakkan keharmonian dan keamanan yang rakyat kecapi selama ini. Umum berpendapat program tersebut telah menimbulkan salah faham yang extreme, kekeliruan dan keresahan serta prejudis di kalangan Umat Islam di negara ini.

“Nyanyian lagu Alhamdullilah dan Allahhuakbar serta kuiz Islam dalam program tersebut adalah menghina dan mempermainkan Akidah Islam dan ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam,” ujarnya yang juga Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS)

Dalam tempoh seminggu ini GCM telah menggerakkan massa NGO dan telah membuat 45 laporan Polis mengenai program ini di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah di Negeri Selangor.

Program yang dianjurkan DUMC tempoh hari kata Hamidzun lagi adalah bercanggah dengan beberapa peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang yang sedia ada termasuk Perkara 3, 11(4) Perlembagaan Persekutuan, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan bukan Islam ) Negeri Selangor 1988 serta Kanun Keseksaan.

“GCM menggesa penganjur program tersebut disiasat dan didakwa dibawah seksyen 298, 298A Kanun Keseksaan. DUMC telah melakukan perbuatan yang telah mengguris hati orang Islam serta boleh mencetuskan suasana tidak harmoni, perpecahan di kalangan rakyat Malaysia.

“Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan perpecahan harmoni dan perpaduan, rasa tak puas hati, prejudis berdasarkan agama boleh disabitkan dengan hukuman penjara di antara dua hingga lima tahun,” katanya.

Seksyen 298A ini juga tegas beliau melarang perkataan-perkataan yang boleh menyebabkan perselisihan, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian, kecurigaan atau prejudis dalam usaha untuk memelihara perpaduan dan keharmonian, atas dasar agama di antara warga negara atau sekumpulan warga negara.

“Sehubungan dengan itu, GCM ingin mendesak pihak berwajib menangani isu ini dengan CERMAT tetapi TEGAS agar kerharmonian, perpaduan dan keamanan di negara ini dapat terus terpelihara.

“Jangan lah kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” ujarnya yang juga mantan Ketua AMK Negeri Selangor. -MediaUMNO

 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita