Kerajaan BN Bukan Macam Pembangkang “Telur Sebiji Riuh Sekampung”

KUALA LIPIS,  22 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pembangkang sudah ketandusan isu apabila menyelar kerajaan negeri Pahang yang  didakwa hanya menghulurkan bantuan ketika musim perayaan dan menjelang musim persekolahan setiap tahun.

Katanya, dakwaan tersebut sama sekali tidak berasas kerana kerajaan negeri yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) tidak pernah menghulurkan bantuan hanya mengikut musim.

“Kita menghulurkan bantuan tidak mengira masa. Cuma kerana kita tidaklah seperti pembangkang yang sering memukul gendang memaklumkan mereka menghulurkan bantuan.

“Kebetulan isu menghulur bantuan ini akan mendapat perhatian lebih pada musim perayaan dan musim menjelang sesi persekolahan namun ini tidak bermakna kita membantu rakyat bermusim. Pembangkang sebenarnya sudah ketandusan isu sebab itu mereka membuat tuduhan melulu,” ujarnya.

Wan Rosdy yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri turut memaklumkan, beliau sendiri setiap minggu akan ke kampung orang asli untuk menghulurkan bantuan.

“Kita juga sentiasa meluluskan bantuan termasuk projek kemudahan asas untuk faedah penduduk luar bandar. Kita sentiasa prihatin dengan nasib rakyat kerana ianya bertepatan dengan laungan rakyat didahulukan.

“Pembangkang sekadar mewujudkan propaganda untuk mengelirukan rakyat dan menjatuhkan imej kerajaan. Ini semua adalah strategi mereka kerana Pilihan Raya Umum (PRU)13 sudah semakin hampir. Mereka sedar bahawa rakyat tidak lagi mudah terpedaya dengan tipu helah mereka,” ujarnya lagi selepas merasmikan majlis penyampaian bantuan kepada 362 penduduk miskin dan golongan asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai baru-baru ini.

Beliau turut mengulas, dasar kerajaan yang dipimpin oleh BN adalah menjaga kebajikan rakyat bermula sejak merdeka dan ianya terus dilaksanakan sehingga sekarang.

Kepimpinan BN tambahnya lagi termasuklah negeri Pahang bertekad untuk membasmi kemiskinan tegar.

“Oleh itu tidak timbul isu kerajaan hanya membantu ketika musim perayaan atau menjelang sesi persekolahan sahaja. Sekiranya kerajaan berbuat demikian sudah pasti statistik rakyat miskin tegar tidak dapat dikurangkan.

“Sebenarnya pembangkang akan mereka-reka apa sahaja cerita asalkan dapat mempengaruhi rakyat serta memburukkan imej kerajaan. Mereka semakin terdesak sekarang kerana PRU sudah semakin hampir. Mereka tahu tsunami politik 2008 tidak akan berulang lagi kerana kita BN dan UMNO juga telah banyak mempelajari dan memperbaiki segala kelemahan yang ada dan kini rakyat sudah kembali mempercayai BN,” katanya. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita