Pas Ibarat Tikus Baiki Labu…

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Sensitiviti Pas terhadap permasalahan yang besar khususnya berkaitan akidah umat Islam tidak ada sehinggakan terpaksa akur dan patuh kepada rentak rakan sekutu terutamanya Dap demi kepentingan politik sendiri berbanding permasalahan umat.

Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek melihat perkembangan semasa khususnya dalam isu membabitkan polemik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Gereja Methodist baru-baru ini adalah bukti kukuh bagaimana sikap dolak-dalik Pas yang tidak sensitif langsung mengenai kompleksitinya hal tersebut.

“Nampak sangat Pas tidak boleh buat keputusan sendiri apatah lagi untuk berpegang teguh pada pendirian asal malahan sebaliknya kenyataan Pas pula seperti mempertikaikan tindakan JAIS sedangkan sewajarnya dalam isu tersebut mereka bersikap tegas,” katanya.

Jelas beliau, JAIS melaksanakan tugas dan tanggungjawab berdasarkan kepada terma-terma yang ada mengikut bidang kuasanya dan berlandaskan laporan atau maklumat bahawa wujudnya aktiviti mengkristiankan orang Melayu yang tentunya beragama Islam.

“JAIS bertindak sebagai agensi kerajaan yang dibantu oleh pihak polis mengikut kepada bidang kuasa yang termaktub tetapi belum apa-apa laporan dikeluarkan pun, Pas sendiri sudah memberikan macam-macam analisa yang secara tak langsung menunjukkan ketidakmatangan mereka.

“Hal pentadbiran kerajaan negeri dan politik adalah dua perkara berbeza yang tidak boleh dicampur-adukkan kerana apabila asas pentadbiran tidak kukuh maka secara tidak langsung ia akan mewujudkan kerajaan yang caca merba dan itulah yang berlaku di Negeri Selangor termasuklah negeri-negeri yang ditadbir pembangkang,” katanya.

Jelas beliau, perkara paling penting untuk berkerajaan adalah tahu asas-asas pentadbiran agar perkara-perkara sebagaimana isu sensitif berkaitan agama boleh timbul.

Pas kononnya mahu memberikan keadilan kepada semua pihak apabila mahu mengadakan pertemuan terlebih dengan JAIS dan pihak Gereja bagi merungkai permasalahan tetapi malangnya ke hari ini tiada mana-mana pihak mahu mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan Pas dengan alasan tertentu.

“Siapa Pas yang mahu mengadakan pertemuan atau nak siasat berkenaan hal tersebut sedangkan mereka sendiri gagal untuk menyelesaikan hal-hal kecil apatah lagi isu besar tersebut.

“Bukan hanya kerajaan Negeri Selangor malahan tingkah laku para pemimpin Pas untuk menangani isu berkaitan agama hanyalah ibarat tikus membaiki labu, kononnya buat kenyataan untuk dapatkan sokongan atau menyatakan pendirian tetapi hasilnya semakin parah dan mengundang musibah bukan saja kepada anggota parti mereka tetapi apa yang lebih penting adalah umat Islam sendiri.”

Tegasnya lagi, dalam pakatan pembangkang Pas cuba memainkan peranan sebagai anggota penting khususnya melihat isu-isu yang timbul sebagai ‘tanggungjawab bersama’ (collective responsibility).

“Mereka cuba mewujudkan bahawa kononnya mereka adalah penting dan menangani isu-isu yang muncul dengan duduk sekali, bersuara atau terus memberikan sokongan sedangkan nampak gayanya ‘tanggungjawab bersama’ ini hanya seakan-akan harmoni tetapi pendekatan dan platform yang digunakan adalah salah.

“Pas, Dap dan PKR  seakan cuba melakonkan imej satu kabilah atau duduk dalam satu kapal sedangkan isu berkaitan agama adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dengan mana-mana pihak apatah lagi ia melibatkan akidah keseluruhan umat Islam. Itu adalah salah dan sepatutnya, Pas berterus terang kerana jika benar Pas tak bersetuju maka mereka mesti tinggalkan Dap,” bidasnya lagi.

Tambahnya yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), permasalahan sedemikian tidak pernah berlaku dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) kerana semua pihak arif berkaitan kedudukan Islam dan agama-agama lain di Malaysia.

“Kompenan BN semuanya faham berdasarkan Perlembagaan Malaysia iaitu agama Islam adalah agama Persekutuan dan tidak ada sesiapa yang boleh menodai kesuciannya termasuk untuk memaksa atau untuk cuba memesongkan akidah kepada mana-mana rakyat Malaysia yang beragama Islam tetapi dalam pada itu agama lain bebas untuk diamalkan, ia tidak pernah menjadi isu sebagaimana berlaku dalam pentadbiran pembangkang.” – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita