Untuk “Wira-Wira Kota”, Pemuda UMNO Edar 10,000 Bungkusan Kuih Raya

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO akan mengedar 10,000 bungkusan kuih mulai hari ini kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas hospital besar di seluruh negara yang bertugas pada Aidilfitri ini.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata pengedaran bungkusan itu di bawah program ‘Hari Raya Wira-Wira Kota’ akan meliputi kawasan yang lebih luas berbanding sekitar Kuala Lumpur sebelum ini.

Pengedaran bungkusan tersebut, yang masuk tahun ketiga kali ini, dilakukan menerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB).

“Bungkusan kuih raya ini akan diedarkan di 32 Ibu Pejabat Polis Daerah, 63 Balai Bomba dan Penyelamat, 25 hospital besar serta pusat pemeriksaan Kastam dan Imigresen di Johor dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikianselepas majlis serahan simbolik bungkusan hari raya berkenaan kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman dan Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara, ACP Ramli Mohamed Yoosuf di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Khairy turut melancarkan program ‘Jom Balik Kampung’ di mana 30,000 bungkusan juadah berbuka puasa akan diedarkan kepada orang ramai.

Katanya pengedaran juadah berbuka puasa bagi program itu yang juga masuk tahun ketiga, tidak akan hanya terhad kepada orang Islam tetapi akan turut melibatkan semua kaum dan agama.

“Kita nak tekankan walaupun ianya perayaan Islam, tetapi sambutannya adalah untuk semua,” katanya.

Beliau berkata pengedaran bungkusan juadah berbuka puasa itu akan dimulakan pada Jumaat ini di setiap hentian bas di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, palza tol Seremban dan pintu masuk di Tambak Johor.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita