Semarakkan Persiapan Aidilfitri Dengan Kibaran Jalur Gemilang

PUTRAJAYA, 23 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru semua ahli-ahli UMNO untuk menyemarakkan sambutan hari raya Aidilfitri dengan mengibarkan Jalur Gemilang menjelangnya hari kemerdekaan ke -54 tahun pada 31 Ogos ini.

Katanya, dalam kemeriahan untuk menyambut Syawal yang bakal diraikan bersama dengan hari kemerdekaan negara, sesungguhnya ia menjadi hari kemenangan yang berganda kepada masyarakat Islam lantas memanjatkan kesyukuran atas apa yang dinikmati hari ini.

“Generasi hari ini tidak akan dapat merasai keamanan sebagaimana yang dikecapi sekarang sekiranya nenek moyang dahulu tidak melakukan perjuangan untuk membebaskan negara dari kemelut penjajah dan seterusnya mencapai kedaulatan dengan kemerdekaan,” katanya.

Beliau yang juga ahli Parlimen kawasan berkenaan berkata demikian dalam ucapan semasa Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Penduduk di sekitar Parlimen tersebut.

“Kita perlu sentiasa memelihara keharmonian negara serta menghargai setiap apa yang kita ada hari ini dan kibaran Jalur Gemilang adalah salah satu usaha kita untuk memperingati hari bersejarah kemerdekaan negara,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, biarpun ada segelintir pihak yang cuba melakukan kekacauan dengan memanipulasi pelbagai perkara selain membangkitkan hal-hal remeh demi kepentingan politik peribadi tetapi atas semangat perpaduan dan kebersamaan maka semua cabaran dapat dilalui.

Majlis tersebut dianjurkan oleh UMNO bahagian Putrajaya dengan kerjasama JASA Wilayah Persekutuan berlansung di Medan Selera Presint 8, Putrajaya. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita