Tiada Masalah Pindaan Akta Orang Asli Berhubung Pemilikan Tanah : Shafie

SUNGAI SIPUT, 23 Ogos – Tiada masalah rumit yang boleh menggagalkan pembentangan pindaan Akta Orang Asli mengenai pemberian hak milik tanah kepada mereka untuk dibentangkan di Parlimen, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Namun, katanya, ada beberapa aspek dan pandangan yang berbeza dari negeri-negeri yang memerlukan tindakan perincian oleh kerajaan negeri seperti Selangor dan Kelantan.

“Kita tidak pasti bila ia akan dibentangkan ke Parlimen tapi sebelum itu kita akan bawanya ke Majlis Tanah Negara dan Kabinet untuk perakuan dan ia akan mengambil masa,” katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa dan solat Maghrib bersama-sama masyarakat Orang Asli di Kampung Kenang di sini malam tadi.

Beliau meminta setiap kerajaan negeri memaklumkan kepada kementerian apa-apa perkara yang perlu diselaraskan seperti pewartaan tanah yang diluluskan kepada masyarakat Orang Asli seperti Terengganu dan Negeri Sembilan yang telah mewartakan sejumlah tanah kepada masyarakat itu.

Mohd Shafie berkata sesetengah negeri berpandangan perlu ada undang-undang atau sekatan selepas diberikan hak milik kepada mereka dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) akan membuat penentuan berhubung perkara itu.

“Ini supaya kita melindungi hak-hak Orang Asli. Sekatan tertentu bukan bertujuan untuk kita tidak memberi kebebasan kepada mereka. Ini pandangan dari negeri-negeri yang perlu diselaraskan. Sebab itu kita (sekarang ini) belum bersedia membawa ke Parlimen,” katanya.

Mohd Shafie berkata kadar keluasan tanah yang diberikan hak milik juga perlu diimbangi antara negeri-negeri kerana ia perlu realistik.

“Negeri-negeri menyatakan kesediaan membantu masyarakat Orang Asli mengagihkan tanah yang sedia ada, ada sesetengah tempat yang mudah untuk diselesaikan dan ada pula sesetengahnya pula tanah ada hubung kait dengan kawasan tadahan air yang boleh menjejaskan bekalan air negara. Ini perlu ada penyesuaian,” katanya.

Apa yang penting untuk memberi keselesaan kepada masyarakat Orang Asli buat masa sekarang adalah rumah kediaman dan ladang sekitar empat hektar untuk mereka usahakan, kata Mohd Shafie.

Sehingga akhir tahun lepas, lebih 19,000 hektar telah diwartakan untuk masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Mengenai Inkuiri Nasional Hak Tanah Orang Asal/Asli oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dijalankan sehingga September ini di seluruh negara, Mohd Shafie berkata kementerian menggalakkan segala bentuk kerjasama daripada badan itu supaya ada ketelusan untuk membantu masyarakat Orang Asli.

“Kita tidak mahu selindungi perkara-perkara yang tidak baik. Saya maklumkan kepada mereka (Suhakam) teruskan dan kita berikan platform untuk mereka bertemu dan berdialog dengan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita