Cuba Heret Sultan Ke Kancah Politik, Khalid Tiada Etika Selaku Menteri Besar

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengeluarkan kenyataan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan atau mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan Majlis Penasihat Syura adalah bukti bahawa beliau tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya.

Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun menganggap apa yang dilakukan oleh Abdul Khalid adalah bertentangan dengan etika selaku Menteri Besar Negeri Selangor yang memegang kuasa eksekutif di negeri tersebut.

“Tindakan Menteri Besar ini ibarat mengheret Baginda DYMM Sultan Selangor ke kancah politik sedangkan Baginda sebagai ketua negeri bertanggungjawab penuh untuk perkara-perkara yang berhubung dengan agama Islam, adat istiadat orang Melayu serta lain-lain perkara yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online berhubung kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang menafikan perkenan Sultan Selangor dalam penubuhan Majlis Penasihat Syura.

“Sultan Selangor akan dinasihati oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pejabat Mufti Selangor dalam hal-hal berkaitan, justeru tindakan untuk mewujudkan Majlis Penasihat Syura adalah satu usaha untuk melemahkan lagi kuasa JAIS dan Jabatan Mufti yang ada di negeri tersebut.

“Tindakan berkenaan dengan menafikan sama ada permohonan boleh dibuat untuk mendapat perkenan daripada Baginda DYMM Sultan Selangor tidak boleh ditimbulkan kerana tidak ada sebarang peruntukan berkaitan hal tersebut.”

Dilaporkan Majlis Penasihat Syura itu akan ditubuhkan bagi menyelesaikan pertikaian berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lepas kerana disyaki terdapat orang Islam menyertai upacara makan malam yang dianjurkan oleh gereja itu.

“Tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar ini telah membuktikan bahawa beliau tidak tegas sebagai pemimpin dan sanggup tunduk kepada tekanan politik Dap dan PKR khususnya dalam hal-hal yang membabitkan agama Islam.

“Sekiranya Majlis Penasihat Syura ada wakil orang bukan Islam sedangkan mereka tidak mengamalkan agama Islam jadi bagaimana mungkin mereka akan bersetuju dengan apa yang orang Islam lakukan termasuk dalam isu yang membabitkan gereja ini.”

Dalam kenyataan Mohamad Munir memberitahu bahawa Abdul Khalid telah menyembah maklum kepada Sultan Selangor yang berhasrat untuk memanggil dan berjumpa dengan pihak pengurusan Gereja Methodist Damansara Utama.

Ia dibuat bagi mendapat penjelasan daripada pihak gereja mengenai isu pemeriksaan JAIS ke atas gereja itu dan beliau bercadang untuk membawa bersama Mufti Negeri Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, katanya.

Dalam hal ini, Sultan Selangor tidak menghalang hasrat Menteri Besar Selangor memanggil pihak gereja bersama-sama dengan Mufti Selangor tetapi Baginda menasihatkan Menteri Besar menjemput sekali Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar untuk memberi nasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan hukum hakam syariah dan tidak menyentuh sama sekali isu pemeriksaan gereja oleh JAIS. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita