Pembangkang Bodoh, Cetek Akal Pertikai Jawatankuasa Khas Parlimen


KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas pembangkang yang masih terus-terusan mahu mempolitikkan Jawatankuasa Khas Parlimen dengan melabelkan Barisan Nasional (BN) selaku kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan tidak adil ekoran tidak diketuai oleh mereka.

Katanya, memang sikap pembangkang yang akan sentiasa memandang negatif semua parancangan BN dan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen ini adalah antara perkara yang akan dicanangkan oleh mereka sebagai kononnya ketidakadilan kerajaan.

“Saya ingin bertanya pada pembangkang, kalau merekalah yang diberi kuasa sebagai kerajaan maka apakah mereka akan laksanakan penubuhan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan BN? Jawabnya sudah tentu tidak sama sekali kerana pembangkang hanya mahukan kuasa dan kemudian untuk melaksanakan kerja adalah sebaliknya,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya lagi, janganlah pembangkang nak tunjuk macam ayam jantan sedangkan apa yang mereka lakukan membuktikan kebodohan dan kecetekan akal mereka sendiri.

“Bayangkanlah betapa dangkalnya pembangkang yang tidak tahu bersyukur dan menghargai sehinggakan cadangan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen diperkecilkan dan dijadikan sebagai bahan manipulasi.

“Itu pun sudah cukup baik sebenarnya kerana pembangkang turut akan menjadi anggota dalam Jawatankuasa Pemilihan Parlimen ini untuk memberikan cadangan yang bernas dan rasional maka pergunakanlah ruang yang ada sebaiknya. Ini tidak, belum jadi realiti dah macam-macam pula tuduhan pada kerajaan.”

Katanya lagi, tindak-tanduk pembangkang yang tidak pernah menunjukkan kematangan sendiri adalah antara bukti bahawa mereka langsung tidak layak untuk menerajui Jawatankuasa Pemilihan Parlimen.

“Belum pun mendapat kuasa mereka sendiri sudah berlaku tidak adil apatah lagi jika diberi mandat untuk ketuai Jawatankuasa Pemilihan Parlimen, tentulah lain jadinya. Tengoklah saja blog-blog, laman web dan akhbar-akhbar bercetak mereka pernahkah berlaku adil atau mengeluarkan berita yang benar tentang langkah dan perancangan kerajaan?

“Mereka tuduh kerajaan zalim dan tidak telus sedangkan mereka sendiri memaparkan berita-berita palsu yang sedikit pun tidak pernah memberi ruang pada kerajaan untuk menyatakan kebenaran biarpun secara amnya mereka turut menerima imbuhan dan kesenangan hasil daripada pentadbiran BN. Adilkah itu?”

Bidasnya lagi, jika sekiranya pembangkang berangan mahu jadi kerajaan sepatutnya mereka akan belajar untuk bersikap positif dan melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

“Mereka ini golongan yang rakus dan tamak serta tidak tahan dengan tekanan politik pihak tertentu sebagaimana di Kerajaan Negeri Selangor yang lebih sanggup memberikan bantuan tangki air kepada kawasan-kawasan di Sarawak kerana janji politik sekutunya semasa kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak sedangkan dalam masa yang sama banyak lagi permasalahan di negeri terbabit yang masih tak selesai.

“Ini belum lagi bagaimana kerajaan negeri Selangor yang telah membiayai kusrsus jentera politik pembangkang dengan menggunakan wang kerajaan negeri di kem Belia Hulu Selangor termasuklah memberi wang saku dan wang perbelanjaan perjalanan dan tiket penerbangan yang ditanggung.”

Justeru, tegasnya pembangkang perlu belajar membetulkan diri sendiri sebelum menunding tangan pada orang lain. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita