Jadi Calon Bukan Keutamaan Puteri, Serah Sepenuhnya Kepada Perdana Menteri

KOTA BAHARU, 25 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO sama sekali tidak mengejar untuk disandarkan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang sebaliknya mahu bekerja keras bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) yang menjadi keutamaan sayap UMNO itu, kata Naib Ketuanya, Shahanim Mohd Yusof.

Beliau berkata hak memutuskan siapa untuk menjadi calon adalah hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang lebih mengetahui siapa yang berhak untuk dicalonkan demi memastikan kemenangan BN itu.

“Bagi Puteri soal mahu menjadi calon (pada pilihan raya umum) langsung tidak timbul sebaliknya keutamaan kami mahu memastikan BN menang terutama di egeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

“Puteri tidak minta apa-apa pun kerana yang penting adalah membuat kerja terutama mencari seberapa ramai golongan muda mendaftar sebagai pemilih baru,” katanya selepas Majlis Pemberian Zakat Kepada Saudara Baru dan Pelancaran Tabung Kemanusiaan Somalia di sini, malam tadi.

Shahanim berkata bagaimanapun jika ada anggota pergerakan itu yang dicalonkan, mereka akan menerima dan akan bekerja keras demi memastikan kemenangan BN.

Jelas beliau lagi ketika ini pergerakan itu giat untuk mendaftar seberapa ramai pemilih baru dan juga anggota baru pergerakan tersebut.

“Kami berazam mahu bersama-sama anggota UMNO dan BN yang lain mahu merampas negeri yang diperintah pembangkang terutama di Kedah,” katanya.

Beliau berkata contoh kemenangan semula BN di Terengganu pada pilihan raya umum sebelum ini menjadi azam pergerakan itu bagaimana pentingnya pengaruh golongan muda pada lanskap politik negara dan negeri.

Sementara itu pergerakan itu juga akan melancarkan Tabung Kemanusiaan Somalia peringkat kebangsaan pada esok di The Mall, ibu negara.

“Bagaimanapun dalam siri lawatan kita di negeri, tiga negeri telah pundiambil kesempatan untuk menggerakkan lebih awal tabung ini iaitu di Kedah,Perlis dan Kelantan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita