Pembangkang Dapat Malu Besar “Saintis Pas” Akui Kilang Lynas Tidak Bahaya

KUALA LUMPUR, 25 Ogos  – Pembangkang mungkin tergamam dan sedang berusaha mencari skrip baru berhubung  pengakuan berani Ahli Parlimen Pas Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat bahawa kilang Lynas di Gebeng, Kuantan selamat dan tidak membahayakan.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata pengakuan beliau itu yang secara jelas bertentangan dengan apa yang digembar-gemburkan oleh pembangkang kononnya kilang Lynas tidak selamat dan membahayakan keselamatan awam jelas satu pembohongan yang dibuat semata-mata untuk kepentingan politik.

Menurut beliau bukan sesuatu yang pelik dan bukan sesuatu yang janggal apabila pembangkang sengaja mencari isu untuk memastikan mereka popular dan terus mendapat perhatian dan kononnya juara kepada rakyat.

“Ini adalah satu tamparan hebat kepada pembangkang khususnya Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang sebelum ini cukup lantang dan hebat memainkan peranan menimbulkan perasaan tidak puas penduduk setempat terhadap pembinaan kilang tersebut.

“Saya amat mengharghai pengakuan jujur Dr Rosli dan amat berharap pemimpin Pas yang lain dapat mengikuti jejak langkah beliau yang sanggup menyatakan kebenaran walaupun sebelum ini pemimpin pembangkang yang lain bersungguh-sungguh memanipulasi isu Kilang Lynas ini,” katanya.

Dari pengakuannya dalam interview dengan wartawan TV3 Karam Singh Walia jelas Dr Che Rosli selama ini memendam rasa melihat gelagat partinya ‘ untuk menutup kebenaran’ semata-mata kerana politik.

Dr Che Rosli membuat pengakuan itu bersama Profesor Dr. Ahmad Termizi Ramli, seorang Pakar Keselamatan Radiologi & Kesihatan.

Dalam pengakuannya Dr Che Rosli berkata : “Mereka menakutkan orang ramai mengatakan bahawa Lynas ni loji nuklear sedangkan dia hanya memproses bahan tabii iaitu nadir bumi daripada Mount Weld yang lebih rendah daripada kalau kita main lombong bijih, lebih rendah dari segi radiasinya.”

Bukan setakat itu, pakar antarabangsa serta agensi kerajaan yang memantau serta mengawal pembinaan serta operasi kilang Lynas dikecam Fuziah sebagai tidak mempunyai kredibiliti.

“Yang membawa isu ni PKR. Jadi saya bersabar lama dan saya pernah dapat warning daripada Penerangan Pas mengatakan YB jangan buat komen apa-apa. Saya terima. Saya tidak bercakap. Tapi tidak adil. Mereka buat komen setiap keluaran Harakah dengan bahasa yang kita kurang senang lah. Adakah Lynas itu sebagai loji nuklear? Pernah Dr Mitzi nampak sebagai loji radiation lah apa semua macam-macam. Dia spin.”

“Saya pun malu. Saya orang Pas  juga. Jadi akhirnya saya buat keputusan saya sebagai saintis nuklear, saya datang hari ini. Apa dia orang nak kata, kata lah.”

Zaki seterusnya menambah tidak pelik dan tidak mustahil selepas ini akan timbul pelbagai cerita baru mengenai kilang berkenaan walaupun pakar dan saintis sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa ianya adalah selamat dan terjamin.

“Saya dah masak dan lali dengan perangai pembangkang ni….Buatlah apa jua kajian, buatlah apa jua penelitian sekalipun, kalau dah nawaitu tidak betul iaitu hanya untuk kepentingan politik, mereka tidak akan fikir untuk kepentingan umum…. pembangkang akan tetap hentam dan balun kononnya tidak selamat dan membahayakan,” katanya. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita