UMNO Pandan Pastikan Kejayaan Misi Tawan DUN Teratai, Chempaka

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Pandan, Mejar (B) Mohd Iszeham A. Hamid berkata pihaknya yakin jalinan program bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) dengan lebih erat mampu meningkatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap BN pada pilihanraya umum akan datang.

Katanya usaha itu mesti dipertingkatkan lagi bagi menjayakan misi merampas kembali dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berjaya di menangi oleh pembangkang pada pilihanraya umum alu.

“Cabaran kita adalah untuk mengembalikan semula sokongan pengundi Cina yang mungkin sebelum ini terpedaya dengan pelbagai dakyah pembangkang. Kita akan mendekati mereka dengan pelbagai pendekatan termasuk menerusi NGO-NGO yang mempunyai rangkaian yang luas.

“Setakat ini respon yang diterima daripada pengundi Melayu dan India cukup baik dan kita akan cuba terus pertingkatkan lagi”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Berbanding DUN Teratai, beliau seterusnya mengakui peluang BN lebih positif di kawasan DUN Chempaka.

“Hasil kajian yang telah dilakukan, saya yakin BN mampu menewaskan Pas di DUN ini.

“Tetapi untuk DUN Teratai kita perlu melipatgandakan usaha kerana walaupun terdapat perubahan namun ia belum lagi memberi tahap selesa untuk kita menang di situ.” terangnya.

Selain faktor pengundi, beliau berkata, faktor calon berkelayakan juga perlu diberi perhatian yang utama.

“Calon tempatan haruslah diletakkan bagi memudahkan gerak kerja mendekati pengundi. Sudah pasti masyarakat setempat mahukan calon tempatan kerana mereka lebih mengenali dan tahu latar belakang calon tersebut.

“Sekiranya calon luar diletakkan sudah pasti ini menyukarkan kita mendekati pengundi kerana perlu memperkenal dan menyakinkan masyarakat tetapi sekiranya calon tempatan diletakkan, rakyat akan lebih yakin. Jadi, faktor calon yang tepat harus diberi penekanan sekiranya kita mahu merampas kembali kerusi yang dimenangi pembangkang.

“Saya yakin, dengan senario politik sekarang ini yang melihatkan rakyat kembali mempercayai BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, kita mampu kembali memerintah  negeri ini semula,” katanya. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita