UMNO Shah Alam Tidak Gentar Berdepan Taktik Kotor Pembangkang

SHAH ALAM, 26 Ogos – Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang, Pas dilihat mencuba pelbagai cara untuk menawan hati rakyat walaupun terpaksa menggunakan cara kotor.

Menurut ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Datuk M. Zin, Pas seakan takut dengan bayang-bayang sendiri apabila cuba menggagalkan usaha UMNO bahagian tersebut mendaftarkan pengundi baru.

Katanya, disebabkan kejayaan UMNO mendaftarkan pengundi baru dalam bilangan yang ramai, Pas telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kononnya ada yang tidak kena terhadap pendaftaran yang telah dibuat.

“Apabila individu yang didaftarkan itu gagal hadir apabila dipanggil oleh SPR maka nama individu tersebut akan dibatalkan sedangkan individu tersebut tidak dapat datang kerana ada alasan tertentu. Inilah cara kotor Pas dalam menggagalkan usaha UMNO untuk mendaftar pengundi baru.

“Tapi, walau apapun cara kotor yang digunakan Pas untuk menggagalkan usaha kita mendekati rakyat, itu semua tidak akan mematahkan semangat kita untuk terus berjuang. Biarlah Pas dengan cara kotornya kerana rakyat mampu menilai perkara yang sebenar,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau lagi, pelbagai program mendekati pengundi telah diatur sejak awal lagi bertujuan memberi kefahaman yang lebih tentang perjuangan parti kepada rakyat.

“Ketika PRU 12, bahagian Shah Alam tidak ketinggalan terkena tsunami politik yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas semua kerusi. Tetapi saya amat yakin PRU akan datang, kita bakal merampasnya kembali memandangkan rakyat sudah muak dengan tindak tanduk pakatan pembangkang ini.

“Selama tiga tahun mereka mentadbir di Negeri Selangor, khususnya Shah Alam, tiada apa kebaikan yang mereka lakukan demi masa depan rakyat. Satu demi satu kontroversi melanda mereka dan terbaru isu gereja.

“Isu ini benar-benar membuatkan rakyat semakin yakin bahawa mereka PKR dan Pas bukanlah parti yang relevan lagi untuk disandarkan harapan. Hasil kajian sikap juga menunjukkan rakyat sudah kembali menerima UMNO dan BN,” ujarnya.

Kini UMNO khususnya Barisan Nasional Shah Alam hanya menunggu masa Perdana Menteri mengumumkan tarikh PRU kerana beliau yakin, Bahagian Shah Alam mampu menyumbangkan kerusi kepada parti kali ini.– MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita