ATM Sentiasa Bersedia Bantu Misi Bantuan Kemanusiaan, Kata Ahmad Zahid

PETALING JAYA, 28 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pasukan udaranya tidak pernah menolak permintaan mana-mana pihak untuk melakukan penerbangan ehsan, terutama untuk misi bantuan kemanusiaan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata walaupun menghadapi kekangan kewangan dalam menjalankan tangggungjawab tersebut, namun menjadi tugas ATM, terutama pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memberi khidmat tersebut.

“(Walaupun) Kami mempunyai kekangan perbelanjaan (untuk penerbangan ehsan) yang tidak disediakan dalam belanjawan, tetapi kami sedia berkhidmat untuk mana-mana badan sukarela dan badan bukan kerajaan (dalam menjalankan misi kemanusiaan).

“Saya juga telah mendapat arahan dari Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menolong Kelab Putera 1Malaysia (untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Somalia), dan ini adalah tanggungjawab kami untuk negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghantaran misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia di Pangkalan TUDM di Subang di sini hari ini.

Kumpulan yang terdiri daripada 76 orang termasuk anggota sukarela, media, pegawai perubatan dan krew kapal itu, diterbangkan menggunakan pesawat C-130 milik TUDM yang diketuai oleh Left Kolonel Zahani Zainal.

Ahmad Zahid berkata pihaknya membantu kumpulan misi berkenaan daripada segi penyediaan pesawat, krew-krew penerbangan dan krew semasa di lapangan.

“Penerbangan ini akan mengambil masa perjalanan selama 18 jam dan akan berhenti di tiga negara iaitu di Seychelles, Mogadishu, dan Mali.

“Seramai 26 pegawai dan anggota yang membantu dalam penerbangan kali ini yang mana mereka ini terdiri dari pegawai penerbangan, unit teknikal dan Anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) TUDM.”

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata sebanyak lapan tan bahan makanan dan ubatan-ubatan telah dikumpulkan untuk dibawa ke Somalia bagi misi itu.

“Ia terdiri daripada 1,212 botol air Mineral, bungkusan biskut dan coklat (2,586), kurma dan coklat (1,817), ubat cacing (30,000)dan ubat-ubatan (9,338),” katanya yang turut serta dalam misi itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita