Bekas Polis Bantah Kenyataan Mat Sabu

BESUT, 28 Ogos – Persatuan Bekas Anggota Polis Negeri Terengganu yang mempunyai 4,500 anggota hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dianggap keterlaluan hingga sanggup menghina polis demi mencari populariti.

Pengerusinya Hussin Awang Ngah berkata tindakan Mohamad menyanjung komunis dan merendahkan maruah anggota keselamatan amat dikesali, sekaligus menunjukkan beliau telah terpengaruh dengan ideologi komunis.

“Saya hairan kenapa sekarang orang kuat nombor dua PAS itu baru menimbulkan perkara tersebut dan tidak membangkitkannya selama ini.

“Saya percaya, tujuannya tiada lain kerana beliau nak mencari populariti kerana tiada isu lain yang boleh dibangkit memandangkan pilihan raya umum telah hampir tiba,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini hari ini.

Kata Hussin, beliau sedih dengan pendirian Mohamad Sabu yang sanggup memainkan apa jua isu asalkan dirinya mendapat sokongan dalam kalangan penyokongnya.

Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, Mohamad dilaporkan berkata pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita