Bangkitkan Semangat Perjuangan Di Aidilfitri, Tolak Manipulasi

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru semua umat Islam khususnya ahli-ahli UMNO untuk menjadikan Aidilfitri sebagai ruang memperbaiki diri dan meningkatkan hubungan sesama umat.

Katanya, Aidilfitri kali ini lebih bererti kerana kemenangan berganda diperoleh iaitu selain kemenangan menempuhi cabaran sepanjang Ramadan yang menahan lapar, dahaga dan nafsu serakah tetapi dalam masa yang sama dapat merasai kemenangan dalam perjuangan kemerdekaan 54 tahun lalu.

“Sebagai hamba-Nya, kita perlu sentiasa mensyukuri apa yang kita ada dan tahu menghargai semua yang kita nikmati hari ini, meraikan Aidilfitri dalam suasana harmoni, sejahtera dan negara yang merdeka tanpa rasa gelisah atau saling mencurigai,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau membidas segelintir pihak yang tidak tahu menghargai apa yang dimiliki hari ini apatah lagi untuk mengenang jasa pejuang-pejuang terdahulu.

“Sedarlah, bahawa kita tidak merdeka dengan sekelip mata malahan sejarah yang ada berkaitan kemerdekaan negara bukanlah satu propaganda atau manipulasi politik sebaliknya itulah realiti sebenar yang telah dilalui oleh masyarakat lampau.

“Janganlah kita sanggup memperbodohkan diri dan terpengaruh dengan kenyataan yang dangkal sebagaimana Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu yang mengibaratkan diri sebagai pakar sejarah,” bidasnya lagi.

Jelas beliau lagi, janganlah hanya kerana kepentingan politi maka kita sanggup menjadi seperti ‘kacang lupakan kulit’, sehinggakan hilang rasa hormat terhadap pemimpin terdahulu yang sanggup berkorban nyawa.

“Malaysia bukan tiba-tiba jadi seperti mana yang ada hari ini sebaliknya ia dibina berlandaskan perjuangan, dan dengan keperitan masa lalu, lantas janganlah ada individu yang angkuh sehinggakan menafikan apa yang terjadi, apatah lagi mereka ini sendiri mendapat imbuhan dan nikmat kehidupan hari ini atas susah payah para pejuang terdahulu,” katanya.

Tegasnya, sejarah adalah realiti kisah lalu yang tidak ada kaitan dengan politik hari ini tetapi UMNO dicatat berdasarkan apa yang tertulis sebagaimana usia penubuhannya lebih 65 tahun iaitu sebelum kemerdekaan negara.

“Janganlah kerana kepentingan politik, semua perkara mahu dimanipulasi dan dipropagandakan sebagai isu.

“Gunakanlah ruang Aidilfitri ini untuk membersihkan hati, mempertingkat kebaikan, jauhi kemungkaran dengan jadikan perkara-perkara lalu sebagai tauladan, Selamat Hari Raya dan Salam Merdeka.” – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita