10,000 hadir rumah terbuka UMNO Tanah Merah

TANAH MERAH 1 Sept. – Kemeriahan Syawal terus dirai apabila UMNO Bahagian Tanah Merah mengadakan Majlis Hari Raya dan Rumah Terbuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1 dekat sini, hari ini.

Majlis yang bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang itu dihadiri lebih 10,000 warga Tanah Merah termasuk perantau yang pulang ke kampung halaman.

Pada majlis itu juga, UMNO bahagian berkenaan menyampaikan sumbangan zakat kepada 5,000 ibu tunggal, fakir miskin dan warga emas yang berusia 70 tahun ke atas dari seluruh kawasan Parlimen tersebut.

Agihan sumbangan zakat diserahkan oleh Ketuanya, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Timbalan Ketua UMNO bahagian, Baharudin Yusof dan Naib Ketua UMNO bahagian, Mohd. Bakri Mustapha.

Turut hadir, Bendahari UMNO Bahagian, Rosli Kadir; Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Mohd. Shukri Omar dan Presiden The Red Warriors Tanah Merah (TRW TM) Razali Kassim.

Ikmal Hisham ketika ditemui pemberita berkata, agihan zakat tersebut bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan sempena sambutan Aidilfitri.

“Sumbangan ini diharapkan dapat menggembirakan penerima dan pada masa yang sama merasai nikmat dan suasana sambutan Aidilfitri,” katanya.

Ikmal Hisham memberitahu, pada majlis tersebut pihaknya turut menyampaikan sumbangan wang ihsan berjumlah RM241,000 kepada 600 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Bagi pelajar ijazah mereka akan menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM800, diploma RM500 dan matrikulasi berjumlah RM300.

“Selain majlis hari raya, pihak kami turut mengadakan program rumah terbuka bersama Persatuan Mahasiswa Tanah Merah (Permata).

“Pada majlis itu kita menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan kepada 2,000 mahasiswa Tanah Merah yang sedang menuntut di IPTA,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita