Mat Sabu Dangkal Fikiran – Wanita Johor

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Pergerakan Wanita UMNO Johor amat kesal dan kecewa dengan kedangkalan fikiran Mohamad Sabu sehingga menjadi insan yang buta sejarah.

Ketuanya, Senator Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, kenyataan berhubung peristiwa Bukit Kepong jelas menunjukkan Timbalan Presiden Pas itu menjadi keldai tunggangan sekutunya.

”Malah kerana ingin mengekalkan kedudukannya, beliau sanggup mengagungkan kumpulan yang tidak beragama seperti pengganas komunis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad mencetuskan kemarahan pelbagai pihak apabila menyifatkan mereka yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 sebagai hero sebenar dan bukannya anggota polis yang terkorban dalam peristiwa itu.

Di KUCHING, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, anggota polis dan tentera di Sarawak, terutamanya bekas anggota keselamatan yang menentang pengganas komunis, berasa marah dan tidak senang hati dengan dakwaan keterlaluan Mohamad Sabu.

Sebagai bekas pegawai polis, Wan Junaidi berkata, beliau pernah berkhidmat dalam hutan untuk menentang pengganas komunis pada 1969 hingga 1973 serta membantu penubuhan ibu pejabat Rascom di Sibu.

“Jadi saya dapati politik Mat Sabu (Mohamad) telah keterlaluan untuk menarik perhatian kepada beliau sendiri dan parti beliau… mungkin dalam keadaan nak menang pilihan raya umum nanti,” kata Wan Junaidi, yang juga Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Sarawak ketika ditemui semasa rumah terbuka Hari Raya anjurannya di sini semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita