Mat Sabu Cuba Guris ‘Luka Lama’ Tragedi Bukit Kepong

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir melihat Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sengaja mahu mengguris ‘luka lama’ berhubung tragedi  Bukit Kepong selain memperkecilkan pengorbanan pejuang kemerdekaan.

Malah kata beliau lagi tindakan itu juga menyinggung perasaan bukan sahaja keluarga anggota polis terlibat, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri, berkata kenyataan Mohamad Sabu, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, adalah cubaan mengaburi mata rakyat dengan mengubah fakta sejarah.

“Perlu kita akui apabila komunis mengganas pada ketika itu, mangsanya bukan sahaja orang Melayu tetapi juga masyarakat yang lain,” katanya.

Mohamad Sabu semasa berceramah di Tasek Gelugor pada 21 Ogos lepas dilaporkan menyebut bahawa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Mukhriz menganggap kenyataan itu merupakan pendirian PAS memandangkan tidak  ada pemimpin tertinggi parti itu yang membantah kecuali Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyokong kenyataan Mohamad Sabu.

Mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu Timbalan Presiden PAS itu menarik balik kenyataannya, Mukhriz menyifatkannya sebagai satu sandiwara politik.

“Ini kerana Karpal Singh sebelum ini pernah membuat kenyataan menghina Raja-Raja Melayu yang mendapat reaksi buruk daripada masyarakat, tetapi sehingga sekarang tidak meminta maaf.

“Jadi kenapa bila Mohamad Sabu bangkitkan isu ini dia meminta Mohamad menariknya balik? Saya tidak nampak keikhlasan Karpal (Singh) dalam hal ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita