UMNO Pontian Yakin Mampu Bantu BN Kekalkan Prestasi Cemerlang

PONTIAN, 5 September – Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata pihaknya yakin mampu mengekalkan kemenangan semua kerusi di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU)  akan datang.

Katanya, walaupun menyedari pembangkang di kawasan ini semakin agresif dan meniru gerak kerja UMNO khususnya Barisan Nasional (BN)  namun itu tidak sedikit pun menggentarkan jenteranya.

Harapan beliau hanya satu, segala gerak kerja yang diatur dan sambutan yang diberikan oleh masyarakat selama ini pada setiap program yang diadakan, bakal diterjemahkan semasa PRU 13 kelak.

“Saya amat berharap rakyat akan menterjemahkan sokongan mereka kepada parti dalam bentuk memangkah undi kelak. Semasa pilihan rayalah kita dapat menilai sejauh mana mutu kerja kita mendapat kepercayaan rakyat. Walaupun pembangkang meniru apa yang kita lakukan di sini, tetapi saya yakin itu semua tidak akan menggugat kepercayaan rakyat kepada parti.

“Sebab itulah, setiap program yang telah diaturkan kita amat menitik beratkan soal kedatangan dan jemputan. Kita tidak mahu membuat program hanya sekadar melepas batuk di tangga.  Mengenal pasti jemputan amat penting kerana kita harus tahu siapa yang hadir dan benar-benar menyokong kita,” ujarnya.

Selain itu beliau memberitahu  jentera pilihan raya kini sedang mengemas kini data pengundi dan juga membuat tinjauan sikap ke akar umbi khususnya kepada pengundi bukan melayu.

“Tujuannya adalah untuk menilai sejauh mana sokongan bukan melayu terhadap Barisan Nasional (BN)”, katanya.

Menurutnya lagi, kajian ini amat penting kerana segala maklumat yang diperolehi akan dikumpulkan dan tindakan susulan bakal diambil.

“Kita mempunyai sasaran tersendiri iaitu sebelum penghujung bulan Oktober, kita telah dapat mengenalpasti semua isu hasil daripada kajian sikap yang dilakukan. Tindakan susulan pula akan dilakukan untuk mengatasi semua isu sebelum PRU 13.

“Sedikit sebanyak apa yang dapat saya simpulkan di sini adalah masyarakat di sini masih setia bersama UMNO dan BN dan ini menguatkan keyakinan saya bahawa kita mampu mengekalkan semua kerusi sama seperti PRU yang lalu. Rakyat semakin dapat menerima cara pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan ini memudahkan usaha kami di peringkat bahagian untuk mendekati pengundi sehingga ke akar umbi.

“Golongan muda juga dilihat semakin ramai berminat untuk menceburkan diri dalam politik dan menyokong setiap program yang kita aturkan. Contohnya, semasa program mengacau dodol baru-baru ini, sepatutnya hanya 16 kawah yang diperuntukkan namun akhirnya menjadi 25 kawah kerana ramai golongan muda yang mahu melibatkan diri,” terangnya.

Beliau seterusnya melahirkan keyakinan bahawa UMNO bahagian Pontian mampu membantu parti mencapai sasaran mendapatkan kembali dua per tiga majoriti semasa PRU 13 kelak.

Apa yang penting katanya, semua pihak termasuk sayap harus terus menjalinkan kerjasama erat dalam memastikan BN menang di PRU akan datang dan terus menerajui pucuk pimpinan negara demi membela nasib rakyat dan memartabatkan negara di mata dunia. –MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita