Debat : Mat Sabu Bukan Ayam Sabung Tapi Pak Lawak

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu diingatkan agar tidak bersikap hipokrit apabila cuba mengalih isu dari terus dilabel sebagai bacul dan tidak bermaruah apabila mencabar Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berdebat dalam isu pejuang kemerdekaan dan peristiwa Bukit Kepong.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Suffian Awang berkata apa yang dilakukan Mat Sabu itu tidak lebih sekadar cuba menutup malu apabila cabaran berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah disambut secara anak jantan oleh Khairy sendiri.

“Yang cadang anjur berdebat Pas Kelantan.  Yang diajak berdebat Khairy. Yang jadi pertaruhan Pas adalah Mat Sabu yang kononnya ayam sabung terhandal mereka.  Tapi bila cabaran disambut kenapa Mat Sabu lari tak cakup tanah.

“Kita percaya Pas Kelantan tidak berbohong dalam cabaran berdebat ini.  Sudah pasti Pas Kelantan bukan suka-suka letak Mat Sabu.  Sebagai orang Islam kalau dah janji kena pegang janji”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Mat Sabu mencabar Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berdebat dalam isu pejuang kemerdekaan dan peristiwa Bukit Kepong.

Sebelum itu Pas Kelantan melontarkan cabaran kepada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk berdebat dengan Mat Sabu.

Cabaran itu telah disambut Khairy yang bersedia berdebat dengan Mat Sabu walaupun di kandang singa Pas di Kota Bharu.

Malangnya Mat Sabu menolak pula cabaran berdebat itu sehingga Khairy melabelkan Mat Sabu sebagai bacul dan tiada maruah.

Suffian yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuantan seterusnya berkata apa yang dilakukan Mat Sabu sekarang hanyalah untuk menutup malu apabila dirinya berjaya dibogelkan Khairy.

“Tindak tanduk Mat Sabu ini cukup melucukan dan menjadi bahan tawa umum.  Kita percaya Mat Sabu telah memalukan Pas dan seluruh ahli-ahli parti itu yang mana dia berkokok-kokok berderai-derai tapi lari lintang pukang bila lawan datang depan mata.

“Mat Sabu sudah jadi Pak Lawak bukan ayam sabung apatah lagi Timbalan Presiden Pas”, ujarnya. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita