Loji Air Ulu Jempol Bukti Kerajaan BN Sentiasa Dahulukan Rakyat

MARAN,  6 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, kerajaan sekali lagi berjaya membuktikan bahawa masalah rakyat sentiasa menjadi perhatian utama apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peruntukan khas terhadap projek muka sauk baru Loji Air Ulu Jempol yang bernilai RM4 juta.

Peruntukan ini dijanka dapat mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi oleh lebih 10 ribu penduduk di tanah rancangan Felda dan kampung tradisional di kawasan berdekatan.

Katanya, tindakan segera Perdana Menteri dalam menyalurkan peruntukan itu jelas membuktikan bahawa segala kesulitan rakyat sentiasa mendapat perhatian kerajaan.

“Loji baru yang dibina 500 meter dari tempat asal adalah lebih tinggi kedudukannya dan menggunakan teknologi moden. Saya bersyukur kerana loji ini siap dalam tempoh dua minggu sebelum Aidilfitri dan berjaya mengatasi masalah bekalan air penduduk setempat. Inilah buktinya kerajaan yang di terajui oleh Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dengan masalah rakyat,” ujarnya ketika melawat loji tersebut baru-baru ini.

Beliau turut melahirkan harapan agar rakyat dapat melihat dan sedar apa yang telah kerajaan lakukan selama ini demi membela nasib rakyat.

“Saya harap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan fitnah pembangkang. Nilailah apa yang telah kerajaan lakukan selama ini. Kini saya ingin menyelesaikan beberapa perkara tertunggak sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) 13. Antaranya ialah masalah perumahan generasi kedua Felda,” jelasnya.

Ketika di tanya mengenai gerak kerja menghadapi PRU akan datang, beliau berkata, usaha mendekati pengundi terus ke akar umbi giat dijalankan.

Walaupun menyedari pembangkang semakin agresif sejak kebelakangan ini namun itu semua tidak mematahkan semangat semua jentera pilihan raya.

“Rakyat sekarang semakin bijak dan dapat menilai apa yang telah kita usahakan. Saya yakin, apa yang telah terjadi semasa PRU 2008, telah banyak memberi kesedaran baik kepada rakyat mahupun BN dan UMNO itu sendiri. Kita telah mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku. Penambahbaikan sentiasa dilakukan agar rakyat sentiasa menyokong kita dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah songsang pembangkang.

“Di Kuala Sentol sendiri, saya berasa beruntung kerana masyarakat di sini tidak mudah terpengaruh dengan pembangkang kerana kita telah ada landasan kukuh dengan rakyat sejak awal lagi. Ikatan yang dibina ini tidak mudah digugat kerana masyarakat di sini sedar, hanya BN yang selama ini sentiasa menyokong dan menghulurkan bantuan di kala mereka memerlukan,” katanya.

Shahaniza juga menjelaskan, di dalam mendekati rakyat, golongan muda juga tidak dilupakan.

Katanya, golongan muda amat penting buat negara kerana golongan inilah pemangkin negara dan bakal menggantikan pemimpin masa kini.

“Sebab itulah dalam mendekati golongan muda ini, pendekatan berbeza dilakukan. Kita harus mengikut peredaran zaman untuk mendekati golongan mereka ini seperti menggunakan media baru, facebook dan twitter. Melalui cara ini kita lebih memahami kehendak jiwa muda,”ujar beliau kepada UMNO-Online.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita