Mat Sabu “Tukang Baca Skrip DAP”, Selepas Ini Chin Peng Pula Dijulang

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu  hari ini “sebagai tukang baca skrip DAP” dan mempersoalkan apakah Pas akan mengangkat Chin Peng sebagai bapa kemerdekaan negara pada satu hari nanti.

Menurut beliau Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan rakan-rakannya wajar disekolahkan semula agar beliau memahami dengan mendalam sejarah kemerdekaan negara dan jangan sesekali mahu mengubah sejarah negara.

“Kalau mereka tidak mengiktiraf Tunku Abdul Rahman yang pergi ke London, Onn Jaafar dan sebagainya lagi yang terlibat dalam proses kemerdekaan sebelum ini, apakah mereka mahu mengiktiraf Chin peng sebagai pelopor kemerdekaan.

“Jika ada kemahuan sila nyatakan pengiktirafan itu dan saya mahu dengar apa pandangan Hadi Awang, Nik Aziz , Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan pimpinan pembangkang lain dalam soal ini. Mat  Sabu ini kelihatannya tukang baca skrip yang disediakan oleh DAP dan percayalah kita tidak akan memengubah sejarah dan sejarah tidak pernah berbohong,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Mengulas lanjut Ahmad Maslan seterusnya menambah pihak komunis khususnya Chin Peng adalah mereka yang bukan sahaja membunuh kaum Melayu, malah kaum-kaum lain seperti Cina dan India serta bangsa-bangsa lain pada waktu itu.

“Apabila mereka membakar hidup-hidup sepertimana yang berlaku di Bukit Kepong tentulah kita tidak akan mengiktiraf orang itu. Oleh kerana itu jangan tersilap faham. Saya sendiri telah melihat filem Bukit Kepong dua kali dan saya anggap apa yang berlaku itu satu pencerobohan, pembunuhan dan satu perkara yang tidak sepatutnya dibuat oleh Mat Indera  kepada Sarjan jamil yang mempertahankan Bukit Kepong pada waktu itu.

“Oleh kerana itu kalau kita nak iktiraf pihak-pihak yang berkaitan dengan pihak komunis adalah satu perkara yang tidak wajar.  Apakah kita nak mengiktiraf Chin Peng  sebagai tokoh kemerdekaan negara. Chin Peng adalah komunis yang membunuh bukan sahaja orang Melayu tetapi juga kaum Cina, India dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Tegas Ahmad Maslan lagi, pihak Komunis sebenarnya mahu mewujudkan sebuah negara Rebuplik Komunis yang berkiblatkan Kuomintang.

“Sewaktu darurat 1948 hingga 1960 begitu ramai yang dibunuh oleh komunis. Satu perkara yang penting ialah kalau mereka mengiktiraf kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kenapa komunis tidak keluar daripada hutan.

“Mereka inginkan kemerdekaan cara lain iaitu mereka ingin mewujudkan republik komunis yang berkiblatkan kuomintang yang berkiblatkan kepada negara Russia dan negara China apda waktu itu.  Ini patut difahami oleh Mat Sabu dan penyokongnya.

“Tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam sendiri sebut pada saya yang beliau ada jumpa Rashid Maidin dan bertanya kenapa Pak Rashid tidak keluar daripada hutan apabila telah merdeka, yang ini tidak dijawab.

“Jadi sebenarnya hasrat komunis untuk mewujudkan republik komunis tidak tercapai. Mereka juga menyokong Malayan Union Itu yang penting kita ketahui…Lagi satu komunis ini anti agama. Takkan Mat Sabu nak bersekongkol dengan orang anti agama,” katanya. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita