Golongan Muda Diingat Hargai Jasa Kerajaan – Jamawi

TENOM, 7 Sept –  Golongan muda harus menghargai usaha kerajaan sehingga membolehkan negara mengecapi pembangunan dan rakyatnya hidup dengan selesa.

Ketua Pemuda Tenom,  Jamawi Jaafar berkata, golongan muda perlu mengetahui tentang usaha pembangunan yang telah dibangunkan oleh pemimpin negeri ini.

“Bukan mudah untuk kita mengharungi pelbagai cabaran untuk mencapai sesuatu kejayaan.

“Sebagai golongan muda kita perlu insaf dan sedar bagaimana perjuangan pemimpin terdahulu berjuang dan berusaha demi sebuah pembangunan yang maju khasnya hidup dalam suasana aman makmur walaupun rakyat di negara kita terdiri berbilang kaum,” jelasnya.

Menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia selama ini,  rakyat di negara ini amat mementingkan perpaduan dan hidup bersatu padu dalam masyarakat, jadi memang wajar jenarasi muda meneruskan landskap budaya murni ini.

Beliau berkata demikian dalam majlis sambutan Rumah Terbuka sempana Hari raya Aidil Fitri anjuran Pergerakan Pemuda UMNO dan BN Tenom di perkarangan Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO Tenom di sini yang dihadiri lebih dari 6,000.00 baru-baru ini.

Justeru menurut Jamawi amalan kunjung mengunjungi dan bermaaf-maafan dalam setiap penganjuran majlis rumah terbuka tidak kira apa pun perayaan perlu disemarakkan di semua peringkat ini kerana ianya merupakan wadah terbaik untuk terus memperkasakan perpaduan kaum di negeri ini

Dalam pekembangan lain Jamawi  berkata, peruntukan kerajaan negeri berjumlah lebih RM 200 juta bagi melaksanakan program pembangunan belia untuk tahun ini menunjukkan kepekaan kerajaan terhadap keperluan golongan itu.

Katanya, peruntukan besar yang disediakan itu merupakan pelaburan yang sangat penting ke arah melahirkan belia proaktif, dinamik dan berkeyakinan tinggi menghadapi cabaran dunia masa kini.

Sehubungan dengan itu beliau berharap peruntukan yang disediakan itu juga dapat disalurkan untuk pembangunan belia di kawasan pedalaman yang masih memerlukan banyak pembelaan termasuk penyediaan kemudahan sukan dan rekrasi.

Katanya, sekiranya keperluan golongan belia di kawasan pedalaman kurang diberi perhatian, kemungkinan pihak yang tidak bertanggungjawab akan cuba mempengaruhi mereka untuk tidak menyokong kerajaan.

Tambah beliau sokongan golongan belia di kawasan pedalaman kepada kerajaan Barisan Nasional ketika ini sangat baik.

Ini katanya ditunjukkan menerusi penyertaan mereka terhadap program-program belia yang dilaksanakan kerajaan termasuk oleh pergerakan Pemuda UMNO. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita