Pembangkang Putar Belit Sejarah Untuk Raih Undi – MB Pahang

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Pemimpin pembangkang diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan untuk publisiti dan yang bukan-bukan termasuk mempertikai sejarah negara semata-mata untuk meraih undi dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, tindakan pemimpin Pas disifatkan sebagai mengada-ngada, sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian dan mempertikai sejarah hanya untuk meraih sokongan orang Cina.

Menurutnya, ketika perjuangan menentang komunis, bukan sahaja anggota keselamatan dan orang Melayu yang terkorban malah orang Cina turut menjadi mangsa kekejaman komunis.

“Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai Chin Peng turut membunuh orang Cina di bandar, orang Cina perlu tahu peristiwa Bukit Kepong yang berlaku telah menyebabkan wujudnya kampung baru,” katanya.

Adnan yang juga Menteri Besar berkata, kenyataan Mat Sabu yang mempertikai peranan serta jasa anggota keselamatan yang berjuang mempertahankan negara adalah kenyataan pembelot dan pengkhianat.

Menurutnya, jika mahu menulis sejarah atau memperkatakan mengenai sejarah adalah suatu yang baik untuk mengingatkan generasi muda tapi jangan memesong atau mengubahkan fakta hanya untuk dapatkan populariti.

“Jangan semata-mata kerana politik, ada pihak yang mengeluarkan kenyataan mempertikaikan sejarah dan ingin menulis sejarah berpandukan selera masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, ahli UMNO dan Barisan Nasional perlu bersatu untuk memperbetulkan kenyataan dikeluarkan oleh Mat Sabu itu yang nyata tidak benar. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita