Terima Kasih Pas, Promosi Pengiktirafan China Terhadap UMNO

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Paparan akhbar lidah rasmi Pas ‘Harakah’ yang memaklumkan berkaitan UMNO meterai hubungan dengan negara kuasa besar ekonomi dunia, China melalui Parti Komunis China (CPC) adalah satu publisiti dan pengiktirafan yang diberikan oleh parti pembangkang itu kepada UMNO.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berterima kasih atas penyiaran artikel yang diterbitkan dalam laman UMNO-Online.com pada 4 Ogos 2010 lalu.

“Kita tak minta apa-apa tapi mereka sendiri berikan populariti kepada UMNO yang ternyata dikagumi oleh CPC sehinggakan kuasa besar di persada antarabangsa ini mahu melakukan kerjasama dan mempelajari bagaimana perjalanan dan struktur organisasi UMNO,” katanya.

Paparan akhbar ‘Harakah’ keluaran 9-11 September 2011 ini mengulas bahawa UMNO ‘berasmara ‘ dengan CPC selain menyatakan kononnya UMNO berbohong kepada rakyat bencikan komunis.

“Inilah masalahnya Pas, tak tahu nak membezakan antara dua keadaan, suasana dan kedudukan yang berbeza. Bayangkanlah betapa dangkalnya mereka yang tak tahu membuat perbandingan antara komunis yang bertindak kejam dengan membunuh dan mendatangkan kekacauan sebelum kemerdekaan negara dengan sebuah kuasa besar dunia hari ini,” katanya.

Ujar beliau lagi, paparan berita yang dikeluarkan oleh ‘Harakah’ adalah antara bukti bagaimana parti terbabit mahu memesongkan isu yang ada sekarang dengan memanipulasikan fakta sebenar.

“Apa yang menjadi isu sekarang ini ialah Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu yang mengagungkan komunis pada tahun 1950-an dulu, dan menganggap bahawa pemimpin mereka iaitu Mat Indera sebagai hero sedangkan mereka ini menyerang balai polis dan sanggup membunuh mereka,” katanya.

Tegas beliau lagi, sememangnya sudah menjadi kebiasaan kepada pembangkang yang akan memanipulasi dan memburuk-burukkan UMNO biarpun dalam masa yang sama mereka juga sebenarnya turut mendapat nikmat dan kesejahteraan atas apa yang berlaku termasuklah dalam hubungan akrab antara Malaysia dan negara-negara lain.

“Tahukah Pas siapa CPC dan bagaimana hubungan antara Malaysia dan negara China itu? Bukankah dalam artikel yang mereka ulas ada menerangkan bahawa melalui persefahaman ini juga akan dapat membantu dari segi meningkatkan persefahaman ekonomi kedua-dua negara kerana China merupakan kuasa ekonomi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa?

“Barangkali pemimpin Pas dan pembangkang tidak sedar bahawa China adalah antara pelabur yang merancakkan pembangunan negara kita selain memberikan peluang pekerjaan kepada jutaan rakyat dan dalam masa yang sama para pengusaha di Malaysia dapat mempelajari dan melakukan hubungan perdagangan dengan China. Itu yang perlu Pas pelajari.”

Bidas beliau lagi, masalah dalaman anggota Pas semakin kritikal kerana bukan saja tidak memahami konsep jalinan perdagangan dan hubungan persefahaman yang dijalankan malahan mereka juga terlalu jumud sehinggakan menyamakan Parti Komunis Malaya (PKM) 50 tahun lalu dengan CPC adalah sama biarpun zaman sudah berubah.

“Nampaknya Pas dan pembangkang bukan saja perlu belajar kembali sejarah tetapi mereka juga perlu masuk sekolah semula supaya tahu selok-belok perdagangan, pembangunan dan ekonomi negara. Jika begini keadaannya, jangankan mahu menguasai Putrajaya, jadi pemimpin pun tak layak.

“Kita perlu faham kedudukan negara kita dan kuasa-kuasa ekonomi dunia selain memahami rangkaian perdagangan dan pentingnya jalinan akrab antara parti-parti politik dan bukannya bersikap rigid mengagungkan kekacauan dan pertelingkahan sebagaimana yang mereka mahu contohi seperti di Mesir, Libya, Syria dan lain-lain lagi,” tambahnya lagi.

China yang terletak di asia timur merupakan negara paling ramai penduduknya di dunia dengan diduduki lebih 1,300 juta orang, iaitu kira-kira satu perlima manusia di bumi, dengan diperintah oleh CPC di bawah sistem satu parti, dan berbidang kuasa di 22 wilayah (provinsi), lima kawasan berautonomi, empat perbandaran tadbiran langsung (Beijing, Tianjin, Shanghai, dan Chongqing), dan dua kawasan pentadbiran khas yang berautonomi tinggi.

Dilaporkan, UMNO dan CPC telah mempertingkatkan hubungan melalui memorandum persefahaman (MoU) pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua parti yang berlangsung di Bangunan Perhubungan Antarabangsa CPC, Beijing pada 4 Ogos tahun lalu.

Antara kandungan dalam memorandum persefahaman ini ialah mencapai kata sepakat konsensus bagi membangunkan pertukaran komprehensif dan kerjasama di antara kedua-dua pihak serta saling bersedia untuk terus mengembangkan hubungan berdasarkan prinsip-prinsip kemerdekaan, hak kesamaan mutlak, saling menghormati dan bersetuju untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman masing-masing, dengan tujuan untuk bekerjasama bagi menjuruskan perkongsian strategik Sino-Malaysian.

Dalam hal tersebut, Tengku Adnan memaklumkan bahawa MoU tersebut terhasil ekoran pengamatan mereka yang amat kagum dengan pembangunan dan kesejahteraan negara dengan pelbagai bangsa sebagaimana negara China yang mempunyai etnik-etnik berbeza dan mereka ingin mempelajari bagaimana UMNO/BN menangani masalah berkaitan kaum tanpa mewujudkan pertumpahan darah. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita